Shahrum memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal, yang juga penduduk Taman Putra Perdana

Memandangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal di Selangor meningkat setiap tahun, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menganjurkan program Keselamatan Jalan Raya bersama penduduk.

Menurut ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, program itu penting bagi memberi kesedaran kepada penduduk dalam kawasan berkenaan, agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, terutama ketika menunggang motosikal dan memandu kereta.

Katanya, program sehari itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, yang bertindak memberi penerangan mengenai langkah yang betul, baik dari segi pemakaian mahupun pemanduan ketika berada di jalan raya.

“Sebagai peringkat permulaan, kita mengadakan program ini melibatkan penduduk di Taman Putra Perdana dan akan diperluaskan ke penempatan lain dalam DUN ini dari semasa ke semasa.

“Kita anjurkan program ini sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Natal kerana anak-anak muda dan penduduk dewasa bercuti,” katanya di sini, semalam.

Antara aktiviti yang diadakan ialah penukaran minyak hitam secara percuma, penampalan VEM pada belakang motosikal, pertukaran topi keledar kepada yang layak serta taklimat keselamatan jalan raya.

Kata beliau, taklimat itu disampaikan oleh Pengarah JKJR Selangor, Mohammad Fakhri Mansor dan kira-kira 100 penduduk terlibat. – MalaysiaGazette