Home Ekonomi 1MDB: Bekas pengurus Falcon Bank dikenakan penjara 28 minggu

1MDB: Bekas pengurus Falcon Bank dikenakan penjara 28 minggu

Jens Fred Sturzenegger

SINGAPURA – Bekas pengurus Falcon Bank cawangan Singapura dihukum penjara 28 minggu dan denda  S$128,000 selepas mengaku bersalah terhadap enam daripada 16 tuduhan yang berkaitan dengan siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jens Fred Sturzenegger yang berasal dari Switzerland adalah individu asing pertama didakwa dan kelima didakwa berhubung 1MDB.

Sturzenegger mengaku bersalah terhadap tuduhan gagal untuk melaporkan urus niaga berpotensi jenayah yang melibatkan berbilion-bilion dolar dan berbohong kepada pihak berkuasa untuk melindungi kepentingan kewangan Low Taek Jho, yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Selama di Falcon Private Bank, Sturzenegger gagal untuk mematuhi arahan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), untuk mengambil kira aliran masuk sebanyak AS$1.262 bilion ke dalam dua akaun bank Falcon pada Mac 2013.

Beliau tidak melaporkan urus niaga mencurigakan kepada MAS, sekali gus melanggar peraturan anti-pengubahan wang haram.

Lelaki berusia 42 tahun itu didakwa turut berbohong kepada sekurang-kurangnya empat akaun Falcon yang dikawal oleh Jho Low dalam usaha untuk mengelak siasatan dalam akaun-akaun ini.

Sturzenegger mendakwa akaun telah “dimiliki secara benefisial” oleh Eric Tan Kim Loong, rakan rapat Jho Low yang  sering bertindak sebagai proksinya.

Untuk menyembunyikan hubungan beliau kepada Jho Low, Sturzenegger memberitahu penyiasat bahawa dia tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan atau bercakap melalui telefon.

Tetapi  sebenarnya, kedua-duanya berkomunikasi. Beliau menghubungi Jho Low melalui e-mel yang mengandungi nama penuh Tan.

Apabila MAS mula melihat transaksi mencurigakan di Falcon Bank, Sturzenegger bersubahat dengan rakannya Cindy Widjaja, ketua pematuhan di Falcon untuk memberi maklumat palsu mengenai empat akaun yang dikawal oleh Jho Low.

Widjaja memberitahu sorang pegawai MAS bahawa akaun dikekalkan oleh Tan.

Sturzenegger juga berbohong kepada pegawai MAS mengenai akaun bank Jho Low dan hakikat dia tahu Jho Low yang menggunakan e-mel Tan untuk berkomunikasi dan memberi arahan kepada Falcon berhubung pergerakan keluar masuk dana daripada empat akaun.

Falcon Private Bank diarah ditutup Oktober lalu oleh MAS kerana kegagalan serius dalam kawalan pencegahan pengubahan wang dan salah laku oleh pihak pengurusan kanan.

Ia adalah bank kedua yang ditutup oleh pengawal selia Singapura selepas BSI pada bulan Mei yang melibatkan skandal 1MDB.

Tahun lepas, tiga bekas pegawai bank di cawangan BSI Singapura disabitkan atas peranan mereka dalam skandal 1MDB. – MalaysiaGazette