KUALA LUMPUR- Malaysia terus mematuhi piawaian percukaian yang telah dipersetujui di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Kerangka Inklusif (Inclusive Framework – IF) bagi pelaksanaan Pelan Tindakan Base Erosion and Profit Shifting (BEPS) sebagai BEPS Associates.

Ini diumumkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani semasa menghadiri mesyuarat kedua IF di ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di Paris pada 25 hingga 27 Januari.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan berkata, selaku BEPS Associates, Malaysia kini mempunyai suara yang sama dengan negara-negara OECD dan melibatkan diri secara langsung dalam membentuk undang-undang percukaian antarabangsa dalam menangani isu BEPS.

“Pelaksanaan inisiatif ini, yang diterajui oleh OECD adalah sangat penting kerana ia bertujuan untuk merapatkan jurang sedia ada yang membolehkan keuntungan dipindahkan kepada negara yang mengenakan cukai rendah atau tidak mengenakan sebarang cukai.

“Malaysia bersama-sama negara lain akan membantu dan mengadakan kerjasama untuk melaksana dan memantau Pelan Tindakan BEPS khususnya berkaitan empat piawaian minimum di bawah pelan berkenaan, iaitu Countering Harmful Tax Practises (Action 5), Preventing Treaty Abuse (Action 6), Country by Country Reporting (Action 13) dan Enhancing Dispute Resolution (Action 14),” katanya.

Pengumuman tersebut telah disambut baik oleh OECD, yang mencerminkan komitmen Malaysia untuk berkongsi matlamat dalam memastikan pelaksanaan amalan terbaik percukaian melibatkan transaksi rentas sempadan.

Semasa mesyuarat tersebut, Malaysia juga telah menegaskan komitmen untuk mematuhi sepenuhnya piawaian percukaian antarabangsa terutamanya dalam aspek pertukaran maklumat secara automatik.

Setakat ini, Malaysia telah menandatangani Multilateral Competent Authority Agreement (MCAA) on Common Reporting Standards dan Country by Country Reporting serta Convention on Mutual Administrative Assistance in Tax Matters.

Menerusi inisiatif berkenaan, Malaysia dijangka memulakan pertukaran maklumat bagi tujuan percukaian dengan negara lain yang mengambil bahagian pada Januari 2018.- MalaysiaGazette