Gambar hiasan
TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) 13 lagi mangsa bot laju yang karam di perairan Batu Payung, Selasa lepas.

Operasi SAR yang disambung semula 6.30 pagi ini turut disertai oleh pelbagai agensi seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Pengarah Operasi APMM Tawau, Komander Maritim Romli Mustafa berkata operasi hari kedua itu melibatkan aset APMM iaitu kapal peronda, KM Budiman, Kilat 53 dan Halilintar 8, dua bot PPM (RH59, PR11), TLDM (KD Baung) dan satu bot JBPM.

Operasi SAR melibatkan kawasan seluas 68 batu nautika persegi di Teluk Tawau dengan pencarian membabitkan lapan mangsa dewasa dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menghubungi pejabat Konsul Republik Indonesia di Tawau untuk meminta bantuan pencarian daripada pihak berkuasa Indonesia malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata satu mayat lelaki ditemui terapung di kawasan Sungai Taiwan, Laut Sebatik Indonesia, pagi ini.

“Bagaimanapun, Lokasi tepat penemuan masih belum diperolehi,” katanya.

Fadil berkata dua daripada 15 mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pantai Batu Payung dikenali sebagai Budiman Muslimin, 26 dan Hasmida Masaniaga, 24.

Setakat ini, katanya, enam mangsa daripada 13 mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Amiruddin Beddure, Hadra Hadde, Taqi Muhd Zaki, Muhd Faiz, Nur Hafizah dan Muhd Ashraf.

Bagaimanapun, umur mangsa belum dipastikan.

Pada Selasa, bot laju yang membawa 15 orang warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar kira-kira lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung.

Bot berkenaan berlepas pukul 5.30 petang ke Sungai Nyamuk di Indonesia.

— BERNAMA