Sarang Burung Walit

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menghantar dua surat kepada pihak berkuasa di China bagi memberi penjelasan mengenai keadaan penyakit selesema burung (H5N1) di Kelantan.

Surat itu perlu dihantar berikutan sekatan sementara ke atas eksport Sarang Burung Walit (SBW) Malaysia-Mentah Bersih ke China.

Dalam kenyataannya, JPV berkata, surat itu menjelaskan H5N1 hanya berlaku di Kelantan dan proses pengezonan dilakukan bagi mengawal wabak itu merebak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Timbalan Ketua Pengarah JPV akan ke China bagi menjelaskan kedudukan sebenar situasi penyakit Selesema Burung dan langkah yang diambil.

Jumlah ayam atau itik dari Kelantan hanya 0.5 peratus daripada populasi di seluruh negara manakala pengeluaran telur komersial pula 100 peratus luar Kelantan.

Malah, semua bekalan SBW Malaysia-Mentah Bersih eksport adalah di luar Kelantan , begitu juga semua rumah sarang burung walit juga luar dari negeri itu.

Bekalan SBW Malaysia-Mentah Bersih boleh disemak melalui sistem yang digunakan JPV dan loji pemprosesan menggunakan kaedah ‘Rawatan Haba’ mengikut keperluan yang ditetapkan China.

Jelas JPV, semasa kejadian penyakit H5N1, jabatan itu memanaskan produk SBW sehingga suhu teras 70 darjah Celsius dan dikekalkan selama 3.5 saat.

JPV sudah melupuskan semua unggas di zon jangkitan yang berada dalam lingkungan satu kilometer (km) dari setiap lokasi yang dikesan dengan wabak itu, membabitkan Kota Bharu, Bachok, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Pasir Mas. – MalaysiaGazette