Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Datuk Prof. Mahamad Naser Disa di Hotel Shangri-La, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Imej institusi tertinggi negara, Dewan Rakyat juga tercalar dengan tindakan Nanyang Siang Pao menyiarkan karikatur monyet dalam akhbar mereka pada 8 April lalu, kata Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Datuk Mahamad Naser Disa mengecam akhbar tersebut yang membuat penghinaan berunsur hasutan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta juga kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Karikatur monyet itu secara terang-terangan merujuk kepada kedua-dua individu tersebut.

“Sebenarnya karikatur itu bukan sahaja tentang Haji Hadi (Abdul Hadi), tapi juga melibatkan speaker, jadi ianya memang bersifat hasutan.

“Speaker ini satu institusi, beliau merupakan ketua di Dewan Rakyat, bagaimana mereka boleh digambar sebagai monyet, ini memang satu penghinaan bersifat hasutan,” kata Mahamad Naser semasa majlis santai bersama wakil media hari ini.

Mahamad Naser menegaskan, kenyataan maaf sahaja tidak mencukupi kerana tindakan mereka itu sudah menyentuh agama Islam dan juga institusi penting negara kita, maka tindakan tegas perlu diambil terhadap penerbit akhbar tersebut.

“Bila sesuatu berkaitan dengan Islam kita terlalu lambat, kita terlalu berlembut sangat dan terlalu bermaaf sangat dengan sikap-sikap biadab yang dilakukan terhadap Islam.

“Takkan dengan beri amaran kemudian mereka minta maaf kita boleh diam, lain kali mereka akan buat lagi jadi itu kami desak ketegasan itu perlu,” ujarnya lagi.

Nanyang Siang Pao pada Jumaat lalu yang memaparkan Abdul Hadi dan Pandikar sebagai ‘monyet’.

Karikatur bertajuk ‘Akta Monyet’ memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’, manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai ‘Hadi Awang’ bertenggek di pokok ‘Akta 355’.

Susulan itu, ia mengundang reaksi balas yang tidak berpuas hati dan mengecam pihak akhbar tersebut yang disifatkan tidak sensitif dengan masyarakat yang berbilang agama dan kaum yang tinggal di Malaysia.

Pas hari ini juga menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan Nanyang Siang Pao mendesak permohonan maaf secara terbuka berhubung penyiaran karikatur penghinaan akhbar itu. – MalaysiaGazette