Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria diputus bakal menyandang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.

Keputusan itu dicapai selepas Mohamad Norza mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang turut merebut kerusi nombor satu persatuan berkenaan.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan di antara mereka dibawa kepada pengetahuannya dan Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Menerusi perbincangan itu, Tan Sri Al Amin bersetuju memberi laluan kepada Datuk Seri Norza untuk dilantik sebagai Presiden BAM yang baharu pada pemilihan 29 April ini selepas mendapat persetujuan daripada penaung.

“Selepas mengambil kira sumbangan yang telah diberikan Tan Sri kepada sukan badminton negara, barisan Ahli Majlis bersetuju untuk membawa satu usul pada pemilihan akan datang untuk Tan Sri Al Amin selaku penasihat,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal.

Kemelut pucuk kepemimpinan BAM timbul selepas wujudnya gentlemen’s agreement dalam kalangan pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Perjanjian tersebut dikatakan telah dipersetujui bersama oleh Tengku Mahaleel, Mohamad Norza serta `orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mana perubahan pucuk pimpinan BAM akan dibuat selepas tamat Sukan Olimpik 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini. – MalaysiaGazette