Datuk Mohd Tahrir Samsudin

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor mengesahkan bahawa mufti negeri itu Datuk Mohd Tahrir Samsudin dimasukkan ke sebuah hospital swasta dekat sini petang semalam selepas tidak sihat sebaik selesai menghadiri sebuah majlis di Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim yang mengesahkan perkara itu berkata bagaimanapun Mohd Tahrir kini berada dalam keadaan stabil dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.

“Keadaan jantung beliau stabil cuma kurang rehat,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Abd Mutalip turut mengesahkan bahawa beliau ada melawat mufti tersebut di hospital berkenaan.

Semalam, kisah dan gambar Mohd Tahrir yang didakwa diserang sakit jantung menjadi viral dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp.

— BERNAMA