Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memukul gong sebagai simbolik Perasmian Pameran Raja Kita di Muzium Di-Raja, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 02 MEI 2017.

KUALA LUMPUR -Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan merasmikam Pameran Raja Kita di Istana Lama di sini.

Baginda berangkat tiba di Muzium Diraja pukul 12 tengah hari dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pameran Raja Kita dibuka untuk kunjungan orang awam bermula hari ini hingga 4 September 2017.

Ia membuka peluang kepada orang awam untuk menghayati dengan lebih dekat Sistem Raja Berperlembagaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapannya berkata, Pameran Raja Kita diadakan sebagai pendekatan untuk memperkenalkan dan merapatkan lagi hubungan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan rakyat jelata.

Katanya, sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang mempunyai kuasa, fungsi dan ciri-ciri istimewa turut dipaparkan dalam pameran itu.

“Pameran ini juga berobjektif menjelaskan peranan dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong XV dan konsep Raja Berperlembagaan dan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

“Pameran turut bertujuan memperkenalkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV kepada rakyat selain memperkukuh semangat cinta negara dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara dan kerajaan baginda sultan,” katanya dalam majlis penuh istiadat itu.

Turut dipaparkan dalam Muzium Diraja adalah kepentingan Institusi Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan, kesejahteraan, kemakmuran, keharmonian dan pembangunan negara.

Antara kandungan penting pameran kepada orang ramai di Muzium Di-Raja ialah Sejarah Kesultanan Melayu, Majlis Raja-Raja, Pemihan dan Pelantikan Yang Di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan biografi.

Mas Ermieyati berkata, pameran tentang Yang Di-Pertuan Agong akan dipersembahkan dalam bentuk konvensional, teks dan peragaan artifak, tayangan video pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, info kiosk secara sentuhan pada skrin.

“Antara segmen pameran Raja Kita ialah koleksi peribadi baginda menerusi hobi seperti alat memanah, basikal, go kart, pelana kuda, baju istiadat rasmi negeri Kelantan, bola boling, al-Quran dan rehal,” ujarnya. – MalaysiaGazette