Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang

SEPANG – Enam pramugari yang berkhidmat untuk sebuah syarikat penerbangan negara ini dicekup apabila mengadakan pesta dadah bersama enam lelaki lain.

Sinchew Daily melaporkan kesemua suspek yang gagal melepasi ujian air kencing ditahan di sebuah kediaman di Jalan 8/16 Kota Warisan, Sepang pada 1.30 pagi pada Jumaat lalu.

Ibu Pejabat Daerah Polis Sepang yang menerima maklumat telah menyerbu kediaman itu tetapi orang di dalamnya enggan membuka pintu.

Keadaan itu memaksa polis memecahkan pintu dan menemui peralatan pengambilan dadah dan serbuk syabu seberat 0.05 gram di dalam rumah.

Kesemua enam pramugari yang ditahan berumur antara 19 hingga 23 tahun dan adalah dari syarikat penerbangan yang sama.

Enam lelaki yang ditahan pula berumur antara 22 hingga 25 tahun.

Difahamkan dalam kalangan suspek yang ditahan termasuk mereka yang datang daripada keluarga berada.

Sementara itu di Melaka, China Press melaporkan, terdapat 2,000 sekolah di seluruh negara yang terletak berhampiran dengan tempat penagihan dadah. Kebanyakan sekolah tersebut adalah sekolah menengah.

Keadaan itu menyebabkan pelajar mudah terpengaruh dengan gejala dadah seawal usia muda.

Agensi Antidadah Kebangsaan pada lalu menahan 1,780 pelajar sekolah menengah berumur antara 14 hingga 16 tahun yang menagih dadah. Dalam kalangan mereka adalah termasuk pelajar yang baru memasuki sekolah menengah.

Sebanyak tiga peratus pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan dadah adalah perempuan. – MalaysiaGazette