Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara DRB-HICOM yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar (dua kiri) dengan Zhejiang Geely Holding Group Co, yang diwakili Naib Eksekutif Presiden, Daniel Li (dua kanan) 
turut serta Pengarah Kumpulan Strategik Korporat, Perancangan dan Pembangunan Perniagaan DRB-HICOM Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman (kiri) dan Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group, Nathan Yu (kanan) di Hotel Pullman, Putajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 24 MEI 2017

PUTRAJAYA – Proton Holdings Bhd. (Proton) terus kekal sebagai syarikat kereta nasional meskipun hampir separuh kepentingannya dijual kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Bhd. Co. Ltd. (Geely).

Itu jaminan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Malah Johari sendiri  dalam ucapan sempena majlis pemeteraian perjanjian dasar di antara Proton dan Geely hari ini memberi jaminan kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan Proton demi memastikan kebajikan vendor, pembekal dan pekerja syarikat kereta nasional berkenaan walaupun telah melepaskan semua golden sharenya di dalam syarikat tersebut.

Dalam pada itu, orang kuat DRB-Hicom, Syed Faisal berkata, syarikat kereta nasional itu terpaksa mencari rakan kongsi asing yang mampu menaikkan semula jenama dan jualan kenderaannya sekali gus mengekalkan lebih 10,000 pekerja di syarikat tersebut.

“Tiada gunanya jika kita mengeluarkan dan menjual sebuah model sahaja tetapi mempunyai 10,000 pekerja jadi dengan adanya Geely, kami merancang untuk mengeluarkan lebih banyak model serta meneroka pasaran-pasaran baharu.

“Dengan ini kami berharap bukan sahaja akan mengekalkan pekerja sedia ada malah menambah lebih ramai kakitangan.

“Apa yang boleh saya katakan, nasib pekerja Proton tetap terjamin selepas perjanjian ini,” katanya semasa taklimat media di sini sambil menambah, Geely telah berjaya melakukan perubahan kepada Volvo dan yakin ia mampu melakukan perkara yang sama terhadap Proton.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group Co. di Hotel Pullman, Putajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 24 MEI 2017

Geely juga akan memanggil bakat-bakat terkemuka dunia untuk menyertai pakatan terbaharu itu bagi memastikan model dan jenama Proton memenuhi permintaan di peringkat domestik dan antarabangsa tanpa mengenepikan jurutera tempatan.

Kaedah ini menurut Syed Faisal dan pengurusan Geely, sudah terbukti berjaya semasa syarikat tersebut melakukan perubahan terhadap Volvo.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan struktur baharu Proton bakal menyaksikan syarikat kereta nasional itu menerajui bahagian pengedaran manakala Geely mengetuai bahagian pengeluaran, jualan dan pemasaran.

“Daripada 23 syarikat yang kami beri penilaian, kami telah menyenarai pendek tiga syarikat dan akhirnya memilih Geely kerana terdapat banyak perkara penting yang dititik beratkan untuk mendapatkan rakan kongsi asing ini antaranya, keupayaan syarikat tersebut untuk menyuntik modal ke dalam Proton serta potensi besar syarikat berkenaan untuk membawa kami menjual jenama Proton ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau lagi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group Co. di Hotel Pullman, Putajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 24 MEI 2017

Katanya, antara yang sedang dalam perancangan segera adalah pembinaan model SUV pertama syarikat tersebut yang dipercayai bakal menggunakan platform model terlaris Geely, Boyue.

Ini perlu dilakukan secepat mungkin bagi memulihkan kembali jenama Proton dan jualannya supaya dapat menerajui pasaran tempatan semula serta meneroka pasaran di peringkat antarabangsa.

“Kenderaan-kenderaan baharu Proton pastinya akan mencerminkan model-model Geely tetapi kami tetap mematuhi Program Rantaian Industri (ILP) yang meminta kami menggunakan 90 peratus komponen tempatan dan sebagainya,” katanya lagi.

Ketika ditanya nasib kilang Proton di Shah Alam, Selangor, Syed Faisal berkata, proses pemindahan akan dilakukan secara beransur-ansur dalam tempoh lima tahun dan tanah berkenaan akan dipindah milik kepada DRB-Hicom.

Konglomerat yang turut aktif dalam bidang hartanah itu akan membangunkan tanah seluas 250 ekar tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berhubung perancangan masa hadapan tapak kilang berkenaan.- MalaysiaGazette