Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain (duduk tengah) berbincang dengan sebahagian penduduk Taman Melawati, Ulu Klang berkaitan isu jalan yang sesak disebabkan pembangunan baru di Pusat Bandar Taman Melawati. foto SAFWAN MANSOR, 24 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Sekumpulan wakil penduduk Taman Melawati mempersoalkan sikap ambil mudah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam menangani isu kesesakan di kawasan tersebut ekoran pembangunan yang pesat di kawasan tersebut.

Hampir 50 wakil penduduk hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden MPAJ, Abd Hamid Hussain di pejabat pemaju Serini, Taman Melawati bagi mendengar aduan penduduk setempat yang rata-rata mempersoalkan kesesakan yang bakal berlaku di depan jalan masuk pusat beli belah, Melawati Mall yang sudah hampir siap sepenuhnya.

Terdapat tiga laluan akses keluar masuk ke Taman Melawati iaitu Jalan Taman Melawati serta persimpangan Jalan Bandar yang merupakan akses keluar masuk terus ke MRR2 dan terletak betul-betul berhadapan Melawati Mall di sini.

Kesesakan di Taman Melawati sebenarnya sudah berlaku sebelum siap pembinaan Melawati Mall lagi memandangkan terdapat pasar malam tiga kali seminggu dan pasar tani pada hujung minggu.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila Melawati Mall sudah siap dibina dan penduduk menyatakan kebimbangan kesesakan akan menjadi lebih buruk sebaik pusat beli belah tersebut memulakan operasinya yang dijangka Julai depan.

MPAJ sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang meluluskan projek Melawati Mall dipersoalkan penduduk dalam menjalankan tanggungjawab khususnya dalam menyediakan akses jalan kepada penduduk untuk keluar dan masuk ke rumah mereka.

“Kita hanya perlukan jalan nak balik ke rumah, itu sahaja,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati (Zon A, B dan C), Razman Hakim Abdullah semasa pertemuan itu.

Pengerusi Penduduk Taman Melawati Jln A, B dan C, Razman Hakimi Abdullah bercakap kepada wartawan selepas berbincang dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkaitan isu jalan yang sesak disebabkan pembangunan baru di Pusat Bandar Taman Melawati. foto SAFWAN MANSOR, 24 MEI 2017

Razman menggesa supaya pihak Sime Darby selaku pemaju Melawati Mall bekerjasama dengan MPAJ untuk menyediakan jalan berasingan khusus untuk digunakan penduduk keluar dan masuk ke rumah mereka.

“Kita sudah beri tempoh kepada Sime Darby sebelum Julai mereka kena beritahu kita aliran trafik yang baharu, mereka sepatutnya perbetulkan aliran trafik mereka atau pertimbangan cadangan jalan berasingan untuk penduduk sahaja,” katanya lagi.

Beberapa penduduk juga membangkitkan beberapa isu lain yang menyumbang kepada kesesakan antaranya pengunjung pasar malam yang gemar meletak kenderaan di tepi jalan dalam pusat bandar Melawati sehingga mengakibatkan kesesakan yang sangat teruk.

Sistem aliran lampu isyarat yang tidak sekata juga menjadi punca namun MPAJ tidak mengambil endah cadangan tersebut sehingga lah penduduk hari ini menggesa supaya mereka mencari jalan untuk membetulkan sistem lampu isyarat dari akses masuk di persimpangan masuk ke Taman Melawati.

“MPAJ akan cuba meningkatkan penguatkuasaan, kami akan clamping dan menunda kenderaan di tepi jalan untuk menangani isu kesesakan ini.

“Kami belum buat lawatan ke kawasan sekitar projek (Melawati Mall), terima kasih kerana beri maklumat ini dan pegawai teknikal akan ambil maklum dan akan melihat perkara dibangkitkan dengan terperinci dan memperbetulkan dengan pihak pemaju,” kata Abd Hamid semasa pertemuan dengan penduduk tersebut.

Selain isu pasar malam di pusat bandar Taman Melawati, Razman menyatakan kekhuatirannya dengan akses masuk di depan Melawati Mall tersebut memandangkan ia terletak betul-betul di MRR2 dan dengan jangkaan ribuan pengunjung kemungkinan kesesakan laluan lintas pasti akan lebih buruk.

“Jalan masuk ke Melawati Mall betul-betul depan MRR2, jika sekarang ini pun sudah sesak untuk masuk ke Taman Melawati boleh bayangkan bagaimana keadaan kemudiaan selepas siap sepenuhnya mall ini?

“Kalau ini tidak ditangani, kami penduduk khuatir selepas ini nak pulang ke rumah pun akan mengambil masa berjam-jam untuk sampai,” kata Razman.
– MalaysiaGazette.

Comments are closed.