KUALA LUMPUR – Hutang tidak berbayar Safitex Trading LLC (Safitex) kepada Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) telah meningkat kepada AS$11.7 juta (RM49.96 juta) dan melebihi had pinjaman yang ditetapkan mengikut audit kewangan berkanun PriceWaterhouseCooper (PwC) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Perkara tersebut telah dilaporkan kepada Jawatankuasa Audit pada 17 Februari 2017.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), PwC menerusi audit kewangan berkanun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 telah melaporkan hutang tidak berbayar Safitex sebanyak AS$8.3 juta. Jumlah tersebut boleh menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.

Perkara ini dimaklumkan lagi oleh PwC menerusi laporan semakan suku tahunannya.

“Sejak itu pihak pengurusan sentiasa membentangkan bahawa baki hutang telah dibayar.

“Namun sebaliknya, baki hutang tersebut telah meningkat kepada AS$11.7 juta dan melebihi had hutang yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam audit kewangan berkanun PwC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Urusniaga dengan Safitex melibatkan penjualan minyak dan lelemak boleh makan kepada syarikat yang berpengkalan di Dubai itu.

Bagaimanapun, barangan tersebut akan dihantar ke pasaran Afghanistan.

Menurut lembaga pengarah FGV, pada 20 April lalu, mereka telah mengarahkan Audit Dalaman Kumpulan melakukan siasatan terhadap perkara tersebut dan mendapati berlakunya pelanggaran polisi sehingga menyebabkan lembaga pengarah terpaksa mengarahkan empat pegawai kanan FGV untuk bercuti.

“Proses dalaman akan mengambil masa dan kami akan memberi makluman terkini dari masa ke semasa.

“Buat masa ini, lembaga pengarah telah menubuhkan Jawatankuasa Pengarah Eksekutif untuk memastikan kelicinan perjalanan syarikat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette