Fahariyah Nordin

KUALA LUMPUR – Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat perlu mendedahkan individu yang menjadi dalang terhadap aduan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, tindakan dalang tersebut yang membocorkan maklumat kepada DoJ sebenarnya berniat jahat dan cuba mengganggu-gugat pentadbiran negara.

“Saya juga percaya tindakan DoJ ini didorong atau dihasut pihak tertentu yang cemburu dengan keamanan dan kemakmuran dikecapi negara.

“Justeru saya cabar DoJ untuk mendedahkan siapa sebenarnya penghasut atau pengadu yang mempunyai niat jahat menganggu-gugat pentadbiran negara,” kata Fahariyah dalam satu kenyataan hari ini.

Fahariyah juga menyifatkan tindakan DoJ yang berterusan menyerang kerajaan tanpa bukti juga menyebabkan imej badan tertinggi negara itu sudah tercalar dan reputasi mereka juga jatuh sama sekali.

“Bagi saya, reputasi dan DoJ terus terjejas dan menjadi bahan jenaka di persada dunia kerana dakwaan terbaharu mereka berkait isu 1MDB ini tidak berasaskan fakta dan tidak dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu.

“Ini kerana Malaysia melalui Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) sudahpun menjalankan siasatan terperinci dan tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng 1MDB sepertimana didakwa DoJ,” ujarnya lagi.

Menurut Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO itu lagi, tindakan DoJ itu sebaliknya menjadi alat digunakan oleh individu tertentu untuk menyerang kerajaan Malaysia dan membuat tuduhan yang bertujuan mencemarkan imej negara.

“Kenyataan menghasut dari DoJ ini terus dikeluarkan tanpa sebarang asas dan bukti yang kukuh bagi mempengaruhi orang ramai khuusnya rakyat yang mudah mempercayai sesuatu tanpa diselidik terlebih dahulu.

“Kenyataan tanpa usul periksa ini juga sekaligus dijadikan modal untuk individu dan pihak tertentu demi kepentingan peribadi dan agenda tertentu untuk mencemarkan imej Malaysia dan pentadbiran negara,” katanya.

Minggu lalu, DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB. – MalaysiaGazette