Wee Ka Siong
JOHOR BAHRU – Tindakan MCA memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding dalam kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor pada Pilihan Raya Umum 2013 telah mewujudkan ‘kitaran ganas’ yang seterusnya menyebabkan kekalahan teruk MCA Johor.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pemberian laluan itu bukan sahaja menyebabkan calon UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman kecundang kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, malahan Gerakan yang memberi laluan kepada MCA di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai juga kalah.
Katanya, ramai ahli MCA berasa sedih dengan keputusan parti untuk memberi laluan kepada UMNO di kawasan yang secara tradisinya ditandingi MCA, dan keadaan itu menyumbang kepada kekalahan teruk MCA Johor secara keseluruhannya.
Menurutnya, keadaan di Gelang Patah akan menjadi lebih berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila MCA bertanding semula di kerusi Parlimen sementara kerusi DUN Skudai dipulangkan kepada Gerakan dan UMNO kekal bertanding di DUN Nusajaya.
“MCA akan bertanding semula di Gelang Patah, dan Skudai perlu dipulangkan oleh MCA kepada Gerakan,” kata dalam wawancara bersama Sinchew Daily.
Dalam pada itu, walaupun Ka Siong tidak menafikan sepenuhnya implikasi ‘tsunami Melayu’ yang dipropaganda pembangkang, tetapi beliau tetap yakin dengan kemampuan UMNO untuk mengekalkan sokongan Melayu di Johor.
Katanya, sokongan pengundi Melayu Johor kepada UMNO bagaikan “cinta yang abadi”.
Menurutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin merupakan pemimpin yang bebas isu dan kerajaan pimpinannya melaksanakan pelbagai polisi yang baik, walaupun tahap sambutan pengundi terhadap dasar berkenaan masih perlu diuji.
Jelas Ka Siong, analisis suasana politik Johor harus dibezakan mengikut zon iaitu utara, tengah dan selatan Johor.
Katanya, utara Johor akan menerima impak daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan menteri besar negeri sebelum menerajui Parti Pribumi Bersatu.
Ujarnya, pengundi di selatan Johor pula sukar dihampiri kerana ramai daripada mereka adalah berasal dari negeri lain termasuk ada yang bekerja di Singapura.
“Pengundi Melayu di sini juga mengalami tekanan daripada peningkatan kos hidup,” katanya.
Di tengah Johor pula, Ka Siong berkata, rentak di situ lebih perlahan dengan pertanian sebagai kegiatan ekonomi utama.
“Penduduk di sini tidak akan berasa tertekan jika kedudukan harga komoditi seperti getah dan sawit adalah memuaskan,” katanya. – MalaysiaGazette