Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong Yook (kiri), Ketua MCA Bahagian Segambut, Datuk Daniel Ling Chia Sin (tengah) dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Segambut, Billy Gooi mengibarkan bendera MCA simbolik pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 MCA Bahagian Segambut di Taman Sri Kuching, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPURSudah tiba masanya parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA diberi peluang untuk berentap dengan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama bagi merampas kembali Parlimen Segambut daripada DAP.

Ketua MCA Bahagian Segambut, Datuk Daniel Ling berkata, meski pun DAP telah memenangi Parlimen Segambut selama dua penggal sejak PRU-12 namun kebajikan rakyatnya masih terabai yang kini digalas oleh MCA.

“Kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat di Parlimen Segambut sejak 2012 lagi ketika ahli parlimennya sibuk mengutamakan hal-hal luar tanpa mempedulikan keperluan rakyat di kawasannya.

“Saya menerima aduan bila rakyat nak cari ahli Parlimen Segambut, beliau tiada di kawasan kerana mengutamakan hal-hal lain seperti kepentingan warganegara China,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera MCA Bahagian Segambut di Taman Sri Kuching di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong Yook dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Segambut, Billy Gooi.

Daniel juga melahirkan keyakinan MCA mampu merampas kembali Parlimen Segambut daripada DAP memandang parti itu lebih banyak menyelesaikan masalah setempat dan memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.

“Saya memang yakin tempat ini (Segambut), BN akan dapat balik, saya memang yakin, sebab kita boleh nampak bila kita bercakap (luahan masalah) dengan rakyat dan penduduk di sini,” tegasnya.

Beliau juga menjangkakan peningkatan undi kaum Cina kembali kepada MCA sehingga 35 peratus menjelang PRU-14 akan datang.

“Kita lancarkan jentera MCA di Taman City Kanan ini, kerana hampir 4,000 pengundi yang berada di sini dan terdapat empat peti undi dalam Parlimen Segambut di bawah MCA iaiutu TTDI Selatan, Taman Kok Doh, Desa Park City dan Taman City Kanan.

“Taman City Kanan yang dulu pengundi Cina hanya kurang daripada 20 peratus undi Cina. Melalui program dan aktiviti yang diadakan kelak, kita boleh menambahkan jumlah pengundi di sini untuk menyokong BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.