Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meluangkan masa melawat pada Majlis Perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 22 JUN 2017
PUTRAJAYA – Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak dalam tempoh dua bulan lalu dan dirasmikan hari ini menjadi mahkamah khas pertama yang diwujudkan di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, buat permulaan mahkamah berkenaan akan mendengar kes-kes yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah berjaya kita wujudkan ini, merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, bahkan juga pertama di Asia Tenggara.

“Insya Allah, penubuhan mahkamah ini nanti akan kita perluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Penubuhan mahkamah khas itu hasil daripada Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang diluluskan sebulat suara selepas perbahasan selama 15 jam di Dewan Rakyat pada 4 April 2017 dan di Dewan Negara pada 26 April 2017.

Satu jawatankuasa bertindak turut ditubuhkan sebelum ini, merangkumi undang-undang baharu dan khas, melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah seksual kanak-kanak seperti penjagaan kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Najib juga berharap dengan penubuhan mahkamah khas ini dapat menyelesaikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak secepat mungkin.

“Seboleh-bolehnya kurang dari satu tahun, berbanding kini yang adakala kes-kesnya berlarutan sehingga beberapa tahun,” tegasnya.

Katanya lagi, para hakim, timbalan pendakwa raya dan peguambela yang akan mengendalikan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak akan menjalani program pembangunan kapasiti, latihan dan kursus berterusan agar perlindungan kanak-kanak lebih berkesan.

“Ia penting menggunakan pendekatan etika, dalam pemeriksaan balas saksi-saksi kanak-kanak, bagi mengurangkan trauma yang dialami oleh mangsa kanak-kanak terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.