Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua kanan) dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan (kanan) menunjukkan buku Kegemilangan 200 Tahun Pendidikan Tamil di Malaysia di SJK (T) Taman Permata, Dengkil, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JULAI 2017.

DENGKIL – Usaha yang dilakukan oleh kerajaan sekarang bagi membantu kaum India jauh lebih baik berbanding pemimpin terdahulu termasuk bekas Perdana Menteri yang ada darah keturunan India sendiri satu masa dahulu.

Meskipun tidak menyebut secara tepat namun pemimpin yang dimaksudkan tersebut adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi pemimpin negara selama 22 tahun.

Tambah Najib, perkara tersebut dapat dilihat dalam usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tamil menerusi bajet sebanyak RM900 juta sepanjang beliau menjadi perdana menteri.

“Sebab itu saya jadi PM, RM900 juta saya peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan.

“Sebab itu, ada yang cakap saya lakukan lebih daripada semua bekas PM termasuk yang berketurunan India,”  kata semasa merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Permata, Dengkil petang tadi.

Tambah Najib, usaha kerajaan memperkukuhkan struktur pendidikan di negara ini merupakan satu usaha meneruskan hasrat dan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.

Beliau turut berikrar akan memberi tumpuan kepada kepentingan pendidikan bagi komuniti India.

Najib hari ini juga merasmikan majlis pelancaran buku 200 Tahun Pendidikan Tamil di  Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Permata. – MalaysiaGazette