Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad, Tan Sri Sulaiman Mahbob (dua kiri) ketika hadir pada Majlis Riang Ria Hari Raya FGV di D'Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Siasatan dalaman (DI) terhadap empat pegawai kanan Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGV) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad akan dimulakan Isnin depan dan dijangka diselesaikan pada 14 Ogos depan.

Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, panel penyiasat terdiri daripada tiga ahli dalaman bebas yang tidak terlibat di dalam membuat keputusan dan urusniaga melibatkan Safitex Trading LLC dengan Delima Oil Products Sdn. Bhd.

“Kami merasakan DI bermula 24 Julai ini sehingga 14 Ogos adalah mencukupi untuk pihak yang disiasat untuk memberi maklum balas dan di pihak kami pula cukup untuk membuat penilaian secara konklusif.

DI ini adalah untuk menyiasat sama ada keempat-empat pengurus kanan tersebut melakukan kesalahan atau tidak dan sekiranya didapati bersalah, kita perlu memikirkan hukuman yang sepatutnya.

“Kami akan memastikan panel ini melakukan siasatan secara telus dan adil serta memberikan keadilan kepada semua pihak.

“Pihak yang disiasat juga diberikan peluang seadilnya untuk mempertahankan diri masing-masing dengan menampilkan bukti-bukti dari luar yang mereka ada,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini hari ini.

Menurut Sulaiman, siasatan akan dilakukan secara telus dan sekiranya keempat-empat individu tersebut didapati tidak bersalah, mereka boleh kembali semula ke kumpulan Felda tanpa sebarang masalah.

Menyentuh mengenai dakwaan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd. Puad Zarkashi yang mengatakan terdapat gerakan terancang menjatuhkan Zakaria, Sulaiman dengan tegas menafikannya.

“Tiada konspirasi. Saya takutkan tuhan dan tidak mahu sebarang elemen ketidakadilan berlaku,” tegasnya.-MalaysiaGazette