Babi hutan yang berkeliaran di kawasan letak kenderaan di Taman Botani Pulau Pinang pada waktu malam telah telah menjadi daya tarikan terbaru. - Gambar hiasan

PULAU PINANG – Babi hutan yang berkeliaran di kawasan letak kenderaan di Taman Botani Pulau Pinang pada waktu malam telah menjadi daya tarikan terbaru.

Selain orang bandar yang meredah kegelapan malam untuk melihat kelibat babi hutan, ada juga orang yang membawa buah-buahan kepadanya dengan harapan hidupan liar itu akan membawa tuah kepada mereka.

Golongan yang mengharapkan ‘babi runtuh’ itu kemudian akan membeli loteri mengguna satu siri nombor yang dikatakan melambangkan babi hutan.

Kwong Wah Yit Poh sebelum ini melaporkan bahawa kerosakan pagar telah menyebabkan kumpulan babi hutan menceroboh kawasan letak kenderaan pada waktu malam.

Babi hutan itu dikatakan tertarik oleh sisa-sisa makanan yang diberi kepada monyet pada waktu siang.

Segelintir warga kota juga bertandang ke tempat letak kenderaan taman botani itu untuk menikmati ‘safari malam’ di situ.

China Press dalam laporan susulan mendedahkan terdapat orang yang membawakan makanan kepada babi hutan dengan harap mendapat tuah daripada binatang itu.

“Dalam dunia yang membangun dengan rancak ini, sudah sukar untuk melihat babi hutan.

“Jadi saya membawakan buah-buahan buat binatang di sini, saya juga berharap babi hutan akan bawa tuah untuk menang loteri,” kata seorang peminat babi hutan kepada China Press.

Wartawan yang membuat tinjauan pada malam Ahad mendapati sebanyak 30 orang telah bertandang ke tempat letak kereta Taman Botani Pulau Pinang untuk melihat tujuh ekor babi hutan yang berkeliaran di situ. – MalaysiaGazette