Sirajuddin Salleh menyatakan sokongan ADT Perkasa kepada Ibrahim bertanding PRU14
Sirajuddin Salleh menyatakan sokongan ADT Perkasa kepada Ibrahim bertanding PRU14

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mencontohi Filipina meluluskan Rang Undang-Undang yang memperuntukan pendidikan percuma di peringkat kolej dan universiti.

Langkah kerajaan Filipina itu adalah satu cabaran kepada Malaysia yang dianggap maju dan sudah sepatutnya menyediakan pengajian percuma di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, sebelum ini kerajaan Filipina pernah jatuh miskin angkara bekas presidennya, Ferdinand Marcos.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam masa singkat Filipina melalui era pemulihan sehingga mampu menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.

“Malaysia sebaliknya memotong bajet pengajian di IPT hingga menyebabkan universiti awam terpaksa menaikkan yuran pelajar dan memotong kos pengurusan yang menjejaskan kualiti pembelajaran.

“Kita sedar program begini melibatkan peruntukan berbilion ringgit. Tetapi, dunia mengiktiraf pendidikan adalah satu-satunya intervensi instrumen yang amat berkesan dalam menjayakan dasar penyusunan semula masyarakat di samping tidak mengenepikan usaha pembangunan bangsa negara.

“Pertimbangan ini amat penting bagi negara ini. Namun, setelah 60 tahun merdeka, jurang perbezaan antara kaum masih jauh dari wajah penyelesaian. Kaum Melayu dan pribumi masih jauh ketinggalan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Sabtu lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menandatangani satu rang undang-undang bagi memeberikan pendidikan percuma kepada semua pelajar di peringkat pengajian tinggi di negara itu.

Duterte percaya langkah itu memberi manfaat jangka panjang berbanding cabaran belanjawan jangka pendek.

Atas kesedaran itu, kata Sirajuddin, Perkasa menggesa kerajaan mencontohi Duterte dengan memberi pendidikan percuma di peringkat kolej dan universiti khas untuk kaum Melayu dan pribumi yang masih jauh ketinggalan dari bangsa lain.

Setidaknya, kata Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa ini, biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sekurang-kurangnya 90 peratus dikhaskan kepada orang Melayu dan pribumi.

“Keadaan sekarang agak memalukan berbanding Filipina yang tidak mempunyai banyak hasil semula jadi. Apa tidaknya biasiswa JPA dilaporkan hanya 51 peratus saja dikhaskan untuk Melayu dan pribumi.

“Amat mendukacitakan apabila ribuan pelajar Melayu dan Bumiputera terpaksa bergolok gadai untuk membiayai pengajian dan kemudian menanggung hutang untuk sekian lama setelah tamat pengajian.

“Kita kadangkala tertanya apakah kerajaan telah mengenepikan peruntukan perkara 153 hak istimewa orang-orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan?” soal beliau.

Katanya, Perkasa mendesak kerajaan melipatgandakan pembiayaan pendidikan untuk orang Melayu dan pribumi kerana penguasaan ekonomi mereka masih terlalu kecil, tidak sampai 20 peratus. – MalaysiaGazette