Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berucap pada majlis pelancaran Lagu Tema Temasya dan Seribu Patung Rimau Sukan SEA KL 2017 di pintu besar pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 08 OGOS 2017
KUALA LUMPUR – Bangkit Bersama menjadi lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 yang akan membuka tirai 19 Ogos ini di Bukit Jalil.

Khairy Jamaluddin berkata, lagu hasil gubahan komposer, Datuk Ramli MS dan dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah.

Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, sebelum ini Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) telah menjemput masyarakat umum untuk menyumbang idea dan cerita di media sosial bagi digabungkan sebahagian lirik lagu rasmi temasya kali ini.

“Ini merupakan kali pertama kami mengambil langkah untuk melibatkan orang ramai dalam penciptaan lagu tema bagi temsya sukan yang besar di Asia Tenggara dan saya amat terharu dengan sokongan rakyat.

“Secara peribadi saya suka lagu ini yang bersifat subjektif. Bagi saya semua melakukan yang terbaik memahami mesej lirik, digubah dari lirik rakyat Malaysia yang kita terima.

“Lirik bersemangat ini adalah usaha semua rakyat malaysia dan membawa maksud dan harapan rakyat terhadap kontinjen negara kita yang akan berjuang dalam temasya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan lagu itu bersama Ramli MS dan Dayang di pekarangan Pavillion di ibu negara.

Khairy juga menegaskan, lagu Bangkit Bersama hari ini melengkapkan tiga lagu tema yang dicipta untuk KL2017.

Jelasnya dua lagu awal iaitu bertajuk Tunjuk Belang nyanyian Monoloque, Azlan dan Malique serta lagu bertajuk So Many Hands oleh Mia Palencia dari Sabah yang turut diterjemahkan dalam bahasa Melayu untuk iklan rasmi KL2017.

Dalam majlis sama, Khairy turut membuka pameran 1,000 patung maskot RIMAU KL2017 bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Retail Group, Datuk Joyce Yap

Dalam pada itu, Khairy turut mengalu-alukan kehadiran Pavilion sebagai rakan penaja baharu Platinum dalam keluarga KL2017.

Ditanya mengenai jumlah tajaan yang diterima setakat ini, Khairy memberitahu, sehingga hari ini KBS berjaya mengumpul berjumlah RM101.535 juta iaitu 127 peratus lebih banyak berbanding sasaran asal RM80 juta.

“Ini adalah jumlah yang mungkin muktamad menjelang 11 hari lagi untuk sukan SEA membuka tirai. Walaupun kita tak tutup penajaan, tetapi puas hati dengan sasaran yang dicapai,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette