Nasrudin Hasan

KUALA LUMPUR – Pas akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan sebagai langkah penyelesaian kepada isu berbangkit selepas pindaan Akta 164 diluluskan Parlimen Selasa lalu.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, cadangan itu akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum dibawa ke Dewan Negara.

Katanya, parti itu akan mengatur tarikh pertemuan dengan Azalina dalam masa terdekat ini, bagi menjaga kemaslahatan agama dan umatnya.

“Meskipun pindaan Akta 164 telah diluluskan di Parlimen pada 9 Ogos lalu, (tetapi) pertikaian terhadap beberapa perkara masih berlarutan.

“Namun saya ucap penghargaan kepada kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas, mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini, biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (PAN),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi menangani situasi pertikaian dan perselisihan yang masih wujud.

Katanya, berikutan kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS), Pas menyarankan supaya Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah dijadikan platform yang tuntas untuk membincangkan semula isu berbangkit dari pindaan Akta 164.

“Ini supaya hak Islam sebagai agama persekutuan terpelihara dan polemik antara agama serta kaum dapat diharmonikan.

“Keanggotaan kluster ini boleh dilibatkan semua pihak yang berkepentingan,” ujar beliau.

Menurut Nasrudin, Pas akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik pindaan akta itu, agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakannya serta pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan.

Sehubungan itu, katanya, Pas akan menganjurkan Muzakarah Perundangan dalam masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan, NGO Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan daripada pindaan Akta 164 ke atas umat Islam dan rakyat keseluruhannya. – MalaysiaGazette