Home Utama Raja buah terancam jika keluang pupus

Raja buah terancam jika keluang pupus

KUALA LUMPUR – Para saintis telah mengenal pasti keluang merupakan agen pendebunga untuk pokok durian, yang buahnya sangat digemari di Asia Tenggara.

Para penyelidik mendakwa spesis keluang kecil (Pteropus hypomelanus) yang mendebungkan bunga durian akan menghasilkan buah durian yang sihat.

Kajian yang dilakukan hasil pemasangan kamera perangkap di pokok durian di Pulau Tioman itu diterbitkan dalam jurnal Ecology and Evolution.

Pengasas Bersama, Presiden dan Penyelidik Utama Rimba, Dr. Sheema Abdul Aziz berkata, buah durian mempunyai nilai yang sangat tinggi di seluruh rantau dan merupakan simbol budaya khas Asia Tenggara.

Di samping itu, ia juga satu industri yang sangat lumayan, menghasilkan jutaan dolar Amerika melalui perdagangan dalam dan luar negara.

Keuntungan ekonomi ini sebenarnya akibat khidmat beberapa spesies kelawar gergasi genus Pteropus, yang juga biasanya dipanggil keluang.

Bagaimanapun, kata beliau, haiwan ini sangat terancam akibat pemburuan dan penebangan hutan. Ia sering dijual dan dimakan mengikut sesetengah kepercayaan bahawa haiwan ini boleh dijadikan ubat untuk lelah dan penyakit pernafasan yang lain.

Selain daripada itu, keluang juga diburu dan dibunuh kerana dianggap haiwan perosak.

“Ini kerana sesetengah orang menyatakan keluang mengakibatkan kerosakan dan kerugian apabila ia memakan buah tanaman.

” Faktor-faktor ini telah menyebabkan populasi keluang di seluruh dunia berkurangan dengan sangat mendadak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Namun, jelas beliau, keluang sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting sebagai agen pendebunga dan penyebar biji benih dalam hutan, terutamanya di kawasan pulau.

Oleh sebab itu, kepupusan keluang boleh mengakibatkan ekosistem tropika terjejas dengan teruk kelak.

Malah, kumpulan penyelidik antarabangsa yang disertai oleh Malaysia, Perancis, India, dan Thailand, dengan kerjasama Tree Climbers Malaysia, telah menemui bukti bahawa penghasilan durian di rantau Asia Tenggara mungkin juga akan terjejas jika keluang pupus.

Dr. Sheema yang turut mengetuai kajian itu berkata, penemuan itu sangat penting kerana ia menunjukkan perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh keluang.

Sebelum ini, kelawar kecil yang dipanggil cecadu gua memang merupakan pendebunga untuk durian – tetapi kebanyakan orang menyangka bahawa keluang pula tidak memainkan peranan sebegitu kerana ia terlalu besar dan menyebabkan kerosakan.

“Tetapi kajian kami ini telah membuktikan bahawa sebaliknya – keluang sebenarnya sangat berkesan dalam menjalankan pendebungaan pokok durian,” ujarnya.

Menurutnya, populasi cecadu gua sudah pun terjejas akibat aktiviti penerokaan batu kapur.

Beliau menambah, Rimba akan mengkaji isu ini dengan lebih mendalam supaya tindakan pemuliharaan dapat dicetuskan.

“Keluang kecil sudah pun disenaraikan sebagai terancam di negara ini menurut Red List Mamalia Semenanjung Malaysia.

“Kami mahu menghalang kehilangan keluang. Jika keluang terus diburu sehingga pupus, sudah tentu ‘Raja Buah’ di Asia Tenggara akan terkena kesannya juga,” katanya.

Rimba adalah kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian sains konservasi di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette