Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC Taman Melawati, Razman Hakimi Abdullah berucap pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Penduduk Taman Melawati di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2, Selangor. foto IQBAL BASRI, 23 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Setelah pelbagai usaha dilakukan membantah usaha membina Pusat Konvensyen  Melawati kepada kerajaan Selangor ibarat mencurah air di daun keladi.

Akhirnya persatuan penduduk bersetuju membawa kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Keselamatan dan Cegah Jenayah Zon A,B dan C Taman Melawati kali keempat pagi tadi.

Pengerusi persatuannya, Razman Hakimi Abdullah menjelaskan, keputusan itu adalah resolusi yang dicapai setelah kesemua yang hadir.

Ini kerana penduduk menuntut taman rekreasi seperti mana yang dijanjikan sebelum ini di atas seluas 3.37 ekar bersebelahan pusat beli-belah baharu, Melawati Mall.

Terdahulu, Razman mewakili penduduk telah menghantar petisyen bantahan kepada pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hamid Hussain pertengahan bulan lalu.

Ekoran itu satu mesyuarat telah diadakan Rabu lalu bagi membincangkan hal berkenaan oleh kerajaan negeri namun Razman memberitahu, ia bukan meneliti aduan mereka tetapi lebih kepada mengumumkan untuk meneruskan projek pusat konvensyen.

“Dalam mesyuarat itu kita diberitahu oleh YDP (Hamid) sendiri pusat konvensyen tetap akan dibina. Saya sangat kecewa dengan mesyuarat itu,” jelas Razman.

Dalam mesyuarat itu Razman turut bertanya kenapa MPAJ meluluskan projek taman rekreasi pada tahun 2014 namun Hamid cuma menyatakan beliau tidak tahu tentang projek itu meskipun pihak MPAJ telah menaikkan papan iklan di kawasan berkenaan.

Papan iklan yang dinaikkan pemaju di kawasan Taman Melawati

Razman turut memberitahu Hamid memaklumkan, projek itu menelan belanja RM27 juta dan RM10 juta daripada dibiayai oleh Sime Darby sebagai pemaju dan RM7 juta oleh MPAJ dan RM7 juta oleh kerajaan negeri.

Sehubungan itu Razman selaku pengerusi persatuan penduduk akan menghantar salinan petisyen yang pernah dihantar kepada tiga pihak sebelum ini dan resolusi mesyuarat hari ini selewat-lewatnya Selasa depan.

Pembinaan pusat konvensyen itu dibantah penduduk ekoran kawasan Taman Melawati telah mengalami pembangunan pesat sehingga tiada lagi kawasan rekreasi di sekitar kawasan yang sama.

Malahan pembinaan yang sama juga dikhuatiri akan menambahkan kesesakan laluan masuk ke perumahan mereka. – MalaysiaGazette

Taman Melawati sesak, penduduk persoal sikap ambil mudah MPAJ