Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai berucap pada Konvesyen MCA Negeri Selangor di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang tidak berkesudahan antara parti gabungan dalam pakatan pembangkang di Selangor memberi ruang kepada MCA untuk membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rakyat sudah muak dengan perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang sejak dulu.

“Saya telah meminta MCA negeri Selangor bekerja kuat tingkatkan semangat dan mendapatkan sokongan rakyat balik kepada kerajaan Barisan Nasional.

“Kita bertambah yakin dengan kekuatan BN di Selangor kerana kita benar-benar nak berkhidmat, beri pembangunan untuk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Konvensyen MCA Selangor di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.

Mengulas lanjut Tiong Lai berkata, ketika pembangkang menang pada pilihan raya umum 2013 lalu, mereka telah mewujudkan Pakatan Rakyat yang tidak sampai setahun telah punah dan digantikan dengan Pakatan Harapan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai

“Saya yakin rakyat telah jelas bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada Pakatan Harapan yang tiada harapan.

“Kita lebih tekan kepada agenda negara dan mempunyai semangat pembangunan yang berterusan, bukan seperti pembangkang.

“Walaupun mereka jadi kerajaan, DAP masih bersemangat dengan perkara negatif, sentiasa memainkan emosi rakyat serta tidak mempunyai pandangan yang positif untuk membangunkan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi MCA Selangor berkata, BN dan MCA mempunyai kekuatan dalam menghubungkan komuniti Cina dan rakyat berbilang kaum apabila berpegang kepada sifat harmoni, kerjasama dan perpaduan.

Menyentuh mengenai hubungan antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan Pas di negeri itu, Tiong Lai berkata, kedua-dua mereka bersama barisan tertinggi dalam Pakatan Harapan tidak mempunyai persepakatan.

Beliau mendakwa, keadaan semakin menjadi kelam kabut apabila DAP yang disifatkan sebagai “talam dua muka” sering bermain wayang dengan kaum Cina apabila mengatakan parti pimpinannya telah memutuskan hubungan dengan Pas. – MalaysiaGazette