Makmal memproses dadah di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam.

GEORGE TOWN – Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah di Taman Seri Rambai, Bukit Mertajam dekat sini dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM769,250 setelah menahan dua beradik pada Khamis dan Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata operasi hasil risikan dan intipan sejak sebulan lepas itu bermula dengan polis menahan seorang wanita berusia 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Rambai kira-kira pukul 5.30 petang Khamis.

“Dalam pemeriksaan di rumah itu, kami tidak menemui dadah tetapi kami jumpa satu alat kawalan jauh pagar dan kunci rumah serta bil elektrik dan air sebuah lagi rumah di taman yang sama.

“Siasatan mendapati rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah yang didiami wanita itu bersama keluarganya, dijadikan makmal memproses dadah jenis ecstacy sejak empat bulan lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah kedua yang dijadikan makmal dadah itu, polis merampas 7,235 biji pil ecstasy; serbuk ecstasy (2.13 kilogram); kafein (1.3 kilogram) dan 58 kilogram ubat tiruan.

Roslee berkata dalam serbuan itu juga polis merampas empat mesin memproses dan membungkus pil ecstacy serta pelbagai peralatan untuk menghasilkan dadah.

Beliau berkata susulan serbuan itu, polis menahan abang wanita terbabit berusia 46 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA), Sepang pada 5.15 pagi keesokannya (Jumaat) ketika dia cuba melarikan diri ke Miri, Sarawak apabila mengetahui makmal memproses dadah mereka diserbu polis.

“Berdasarkan siasatan, lelaki itu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan pil ecstacy manakala adiknya pula membuat ubat tiruan dan memasarkannya di sekitar Pulau Pinang. Polis telah menghantar sampel ubat tiruan itu ke makmal untuk melihat sama ada ia dicampur dadah,” katanya.

Beliau berkata rumah yang dijadikan makmal dadah itu disewa dua beradik terbabit dengan bayaran RM700 sebulan.

Mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan, katanya.  – BERNAMA