KUALA LUMPUR – Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) menolak mana-mana individu yang mengiktirafkan dirinya sebagai pengerusi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Presiden Permas, Datuk Abdul Halim Ali berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir NGO tertentu yang bertindak agresif dalam menyelesaikan sesuatu isu.

“Permas dengan tegasnya menolak mana-mana individu yang isytihar diri mereka sebagai pengerusi kepada semua NGO di negara ini.

“Permas juga ingin menegaskan kami sebagi NGO yang menyelesaikan sesuatu secara permuafakatan.

“Pada masa sama, kami menyokong pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas Ketua-Ketua NGO naungan Permas peringkat Malaysia di sini hari ini.

Seramai 200 ahli NGO tersebut hadir pada mesyuarat yang membincangkan Simposium Himpunan Melayu – Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia pada November ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengiktiraf dirinya sebagai Pengerusi NGO-NGO Malaysia.

Semalam, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dibebaskan sehari lebih awal daripada perintah reman Mahkamah Majistret Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Jamal kemudiann ditahan bersama tujuh pengikutnya berhubung tindakan mereka memecahkan lebih 100 botol arak di pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette