Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Tahap kesejahteraan mental di negara ini mencapai kedudukan terbaik dan diperakui di peringkat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, kata beliau, berikutan kejayaan yang dicapai, kerajaan mencadangkan untuk mewujudkan Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia bagi menyelaraskan kayu pengukur dengan negara-negara maju.

Kata beliau, adalah penting Malaysia mempunyai indeks yang terhasil kejayaannya dengan kerjasama semua jabatan dan agensi kerajaan ke arah mencatatkan garis keyakinan yang lebih membanggakan.

“Dalam aspek kesihatan mental yang baik inilah, negara maju lain di peringkat antarabangsa telah memperakui kejayaan kita.

“Ini hasil peranan kita semua. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat,” katanya berucap pada majlis perasmian Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak agar golongan cendekiawan dan tenaga pakar dalam perkhidmatan awam digunakan sepenuhnya untuk menyukat tahao kesejahteraan psikologi rakyat.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Timbalan Perdana Menteri meminta penjawat awam mengakui skim gaji yang diperkenalkan kerajaan jauh lebih baik dari skim disediakan pihak swasta.

Bahkan, beliau meminta sektor swasta meniru skim gaji bawah perkhidmatan awam yang lebih menitikberatkan kebajikan pekerja.

“Kepada pihak swasta, jangan kejar untung sahaja. Gaji pekerja perlu diselaraskan. Rekod menunjukkan gaji kakitangan awam lebih berpatutan daripada sektor swasta,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kadar kemiskinan dan pengangguran di negara ini juga berada pada tahap paling rendah iaitu di bawah tiga peratus. – MalaysiaGazette