Mohammad Hussin

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan harga istimewa RM100 (termasuk GST) kepada pelaburnya untuk pendaftaran perkhidmatan pengurusan perwarisan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh 1 September hingga 30 November 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, caj yang dikenakan itu adalah lebih berpatutan berbanding kos biasa sebanyak RM180 (tidak termasuk GST) bagi satu kontrak Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah.

“Tawaran harga istimewa selama 3 bulan ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pelabur ASNB menggunakan perkhidmatan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah untuk mengurus harta perwarisan mereka yang berbentuk unit amanah ASNB,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan perwarisan yang betul dapat mengelak masalah selepas pelabur meninggal dunia seperti pelaburan dibekukan dan tidak dapat dituntut kerana waris gagal mencapai kata sepakat atau masalah-masalah lain yang berkaitan.

“Pelaburan tunai dalam unit amanah ASNB selalunya diperlukan oleh waris untuk menampung keperluan sara hidup sementara harta lain yang ditinggalkan si mati dapat diagihkan.

“Sehubungan itu, ASNB mahu pelabur mengambil langkah proaktif mengurus harta ketika masih hidup supaya pelaburan dengan ASNB yang ditinggalkan kelak dapat dituntut dengan mudah dan memberi manfaat kepada waris,” katanya.

Pengenalan perkhidmatan Hibah Amanah dan Pengisyitiharan Amanah membolehkan pelabur ASNB menetapkan penerima untuk pelaburan mereka menerusi konsep Hibah dan Amanah.

Berdasarkan undang-undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian dan sehubungan itu, ia tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran, yang mana hanya pentadbir atau wasi yang dipersetujui dan dilantik mahkamah boleh menuntut harta pelabur yang telah meninggal dunia.

Jika pelabur tidak melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, proses tuntutan oleh waris adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran.

Ketetapan mendapatkan probet tetap berkuatkuasa walaupun pelabur ada meninggalkan wasiat.

Proses mendapatkan surat kuasa atau probet ini kadangkala boleh menjadi rumit dan memakan masa terutamanya sekiranya tiada persefahaman antara waris.

Menurut Mohammad, sekiranya pelabur melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, penerima yang telah ditetapkan tidak perlu mendapatkan surat kuasa atau probet.

“Mereka hanya perlu ke Cawangan ASNB untuk membuat tuntutan dan proses dijangka selesai dalam tempoh kira-kira 30 hari sekiranya tiada masalah,” katanya.

Untuk satu kontrak Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelabur boleh menetapkan sehingga 10 penerima untuk semua pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB.

Hibah Amanah, yang menerapkan konsep hibah dan amanah, adalah khusus untuk pelabur beragama Islam manakala Pengisytiharan Amanah yang menerapkan konsep amanah, adalah untuk pelabur bukan Islam.

Apa yang istimewa mengenai Hibah Amanah ialah pelabur boleh memilih sesiapa sahaja yang dirasakan layak sebagai penerima termasuk anak angkat.

Untuk mendaftar Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelabur boleh mendapatkan borang pendaftaran di semua 30 Pejabat Cawangan ASNB di seluruh negara atau muat turun di laman web ASNB (www.asnb.com.my). – MalaysiaGazette