SUBANG – Kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dibidas kerana gagal membela nasib keluarga di penempatan setinggan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang dirobohkan pada 4 Oktober lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian Daerah Petaling di sini.
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, sebagai ketua eksekutif negeri, Azmin seharusnya menggunakan kuasa serta budi bicara yang ada untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam keadaan sangat memerlukan seperti hari ini.
Katanya, Azmin hanya pandai berceramah tanpa memperdulikan kebajikan rakyat dan nasib dua keluarga berkenaan merupakan contoh terbaik bagaimana rakyat menjadi mangsa keadaan demi politik pembangkang.
Beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengambil berat tentang rakyat dan ini terbukti  walaupun baru setahun dilantik menteri Kabinet, beliau mampu membelanjakan lebih banyak untuk rakyat dan menggunakan kuasa budi bicara yang ada untuk menyelesaikan nasib dua keluarga ini.
“Saya dimaklumkan Khamis lepas oleh ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan bahawa ada dua kediaman akan diroboh dan saya meminta dia supaya pastikan dua keluarga terjejas itu membuat rayuan dan menangguhkan operasi perobohan itu.
“Halimaton jumpa saya dengan mereka dengan siap borang PPR yang diisi lengkap pada Jumaat lepas semasa saya baru selesai merasmikan Program My Rumah NSTP di The Curve Damansara, saya meluluskannya di atas bonet sebelum masuk kereta saya, bukan di pejabat.
“Ketika Halimaton mengejar saya dengan surat di sana, kebetulan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara K.N.Jeyaseela ada bersama saya  dan menggunakan kecekapan mengarahkan penyediaan rumah selepas saya meluluskannya.
“Bayangkan waktu itu saya sedang mengejar masa hendak pergi sembahyang Jumaat ke Tanjung Karang,” katanya dalam sidang media selepas hadir dan menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah PPR kepada isteri kedua-dua mangsa itu di unit PPR baharu masing-masing.
Katanya, beliau turut meluluskan dua unit kedai dua tingkat di PPR yang sama untuk kedua-dua keluarga itu berniaga kedai makan dan runcit selepas dirayu oleh Halimaton
“Sewa kedai tadi saya tengok pegawai kementerian caj RM550 sebulan, tetapi setelah mendengar rayuan kedua-dua mangsa yang masih belum pulih dari masalah telah dikurangkan kepada RM300 sebulan.
“Saya sudah meminta pihak saya supaya tak perlu kutip sewa sekarang sehingga mereka menyelesaikan masalah mereka, mungkin mulai November ini akan dikutip sewa.
“Rumah yang disediakan ini adalah sewa untuk dibeli, yang mana semasa dibina harganya RM125,000 sahaja berbanding harga sekarang mencecah RM180,000 seunit dan sewa juga difahamkan mencecah RM1000 sebulan kerana berada di sebelah MRT Ara Damansara.
“Dengan tiga bilik dan dua bilik air kita membantu kedua-dua keluarga ini caj sewa RM255 sahaja sebulan untuk tempoh 24 bulan dan ia akan diambil kira sebagai bayaran pendahuluan untuk beli rumah.
“Kalau tempoh dua tahun bayaran sewa baik dan rumah tak disewa, kita akan tukarkan sebagai rumah beli  dan sewa 24 bulan yang telah dijelaskan akan diserap sebagai deposit sebahagian,” jelasnya.
Noh berkata,  kerajaan negeri Pakatan Harapan hanya pandai cakap tetapi tidak pandai menguruskan masalah rumah, sampah, bola sepak dan denggi.
“Dalam hal perobohan ini dia boleh menggunakan budi bicara dan kuasa eksekutif yang diperuntukkan dan boleh menolong mangsa, walaupun ada undang -undang mahkamah, sebagai peguam saya tahu, dia bukan peguam sebab itulah tak pandai, tetapi kalau suruh fitnah dia juara,
“Dia bila rujuk kes, beri alasan minta merujuk pihak berkuasa tempatan yang didakwa lebih berkuasa pula. Di negeri ini PBT lebih berkuasa dari MB Selangor dan lebih baik Yang Dipertua PBT jadi menteri besar lagi senang,” katanya.
Beliau juga mengutuk proses pemilihan jawatankuasa masjid di negeri itu yang mana kariah dan bilal masjid dipilih kalangan orang lain sedangkan semasa proses undi orang yang dipilih tidak tersenarai.
“Siap bilal merungut hendak mengadu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, tetapi saya kata tak perlu, menangkan BN dan kita akan selesaikan semua,” ujarnya.
Malah katanya, ada yang mendakwa kenapa beliau sibuk turun padang bantu sekarang dan bukan dahulu.
“Saya baru setahun jadi menteri tetapi dah buat banyak jika dilantik awal lagi, saya dah bereskan semua, sehingga Exco negeri jaga perumahan tak payah buat kerja. Kelakar dia boleh cakap ada berbilion ringgit tak tahu nak buat apa berbanding saya sudah berbelanja lebih daripada kerjaan negeri,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette