Chua Hock Kuan

KUALA LUMPUR – MCA Kelantan jangka meletakkan calon muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Calon parti itu akan berentap dengan penyandang paling lama dari Pas, Datuk Anuar Tan Abdullah yang hampir empat penggal memenangi kerusi itu sejak Pas memerintah Kelantan pada 1990.

Jika cadangan itu menjadi kenyataan, Chua Hock Kuan yang memegang jawatan Pengerusi Biro Sukan Pemuda MCA adalah calon paling muda pernah diberikan tanggungjawab oleh pucuk pimpinan parti untuk memecahkan kubu kuat Pas di Kota Lama.

Sebelum ini, MCA meletakkan calon berusia seperti Leong Su Siang dan Tan Ken Ten, yang pernah satu penggal memenangi kerusi DUN berkenaan, sebelum menukar corak kepada calon yang jauh lebih muda bagi menarik golongan remaja.

Namun, dalam pertandingan tradisi antara Pas dengan MCA itu, ada sebuah parti politik yang agak asing bagi rakyat Kelantan menawarkan diri untuk meletakkan calon, bertanding.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga akan meletakkan calon muda beragama Islam di kerusi DUN berkenaan dan jika menjadi kenyataan, menyaksikan berlaku pertandingan lebih tiga penjuru pada PRU 14 ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S. Arutchelvan, calon parti itu ialah seorang aktivis politik, Khairul Nizam Abd. Ghani.

Katanya, Khairul Nizam bakal mendapat sokongan paling banyak kerana beliau satu-satunya calon Melayu yang menawarkan diri.

Apa yang pasti, Pas tidak akan melepaskan kerusi yang dipegang sejak sekian lama itu kepada calon lain.

Bagaimanapun, Anuar Tan walaupun menang selama tiga penggal, tetapi majoriti yang diperolehinya setiap kali PRU adalah bawah 100 undi.

Bermakna kedudukan beliau selaku wakil rakyat Pas di DUN Kota Lama masih tidak selamat. – MalaysiaGazette