Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berucap kepada warga FELDA semasa program Dialog TN50X : Pemimpin Generasi Baharu FELDA sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (kanan) di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Program Felda 2.0 yang menjadikan Felda Lurah Bilut sebagai projek perintis akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Januari ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, program tersebut akan menjadikan Felda Lurah Bilut yang juga merupakan tanah rancangan pertama di Malaysia itu sebagai bandar pintar.

Felda memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan itu.

“Kita merancang untuk mentransformasi tiga tanah rancangan di tiga wilayah dalam tempoh tiga tahun.

“Semuanya bergantung kepada sumber kerana ianya dibiayai sepenuhnya oleh Felda,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis TN50 bersama Felda di sini hari ini.

Menurut Shahrir, Lurah Bilut berada di tengah-tengah destinasi eko pelancongan dan sekiranya peluang untuk mentransformasinya tidak direbut dengan segera, tanah rancangan itu akan terus ketinggalan.

Tambahnya, Felda turut melibatkan agensi-agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk menyumbang kepakaran bagi membangunkan idea tersebut.-MalaysiaGazette