DHAKA – Kanak-kanak pelarian Rohingya dari Myanmar dipaksa bekerja di Bangladesh dengan ada di antara mereka didera dan mengalami serangan seksual.

Penguasa polis di Cox’s Bazar, Afjurul Hoque Tutul berkata, 11 pusat pemeriksaan telah ditubuhkan bertujuan menghalang kanak-kanak daripada meninggalkan kem pelarian.

“Jika ada yang ditemui bekerja, majikannya akan dihukum,” tegasnya.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), budak seawal usia tujuh tahun menjadi sasaran ejen buruh dan digalakkan untuk bekerja oleh orang tua mereka.

Hasil siasatan IOM mendapati, budak lelaki lazimnya dipaksa bekerja di luar penempatan mereka seperti di ladang, tapak pembinaan, bot nelayan, kedai teh atau sebagai penarik beca.

Manakala budak perempuan biasanya bekerja sebagai pembantu rumah dan pengasuh untuk keluarga Bangladesh sama ada di bandar Cox’s Bazar atau Chittagong.

Seorang budak memberitahu, dia hanya dibayar AS$6 (RM25) untuk 38 hari bekerja. – Agensi