Ean Yong Hian Wah

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini diberitahu, negeri itu bebas dari penyebaran penyakit anjing gila atau rabies.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, hasil kajian Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh dan Jabatan Veterinar Selangor menunjukkan tidak ada sebarang notifikasi berkaitan penyebaran penyakit anjing gila.

Ini katanya, kesan daripada kejayaan kerajaan negeri melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) d negeri itu mengambil langkah dan kempen mengawal anjing liar menerusi operasi bersepadu yang dilakukan.

Menurut Hian Wah, antara langkah diambil ialah operasi secara berkesan berdasarkan aduan dan pemantuan, selain kempen pelesenan serta melantik kontraktor berkelayakan untuk menangkap anjing liar.

“Kita juga menubuhkan unit risikan bagi mengenal pasti kawasan anjing liar berkeliaran bagi memudahkan kerja penangkapan dilakukan.

“Orang ramai juga diberi kesedaran melalui pengedaran risalah mengenai cara memelihara anjing dan perkara yang perlu diatasi sekiranya ada anjing liar di kawasan penempatan awam,” katanya pada sesi petang persidangan DUN Selangor di sini, hari ini.

Kata beliau, jumlah keseluruhan anjing luar yang ditangkap oleh semua PBT di Selangor ialah 19,498 ekor dan semua haiwan itu menjalani kaedah tatacara operasi penangkapan dan pelupusan mengikut standard ditetapkan.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan kaedah pelupusan anjing liar dilakukan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada PBT dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan haiwan.

Hian Wah berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM30,000 kepada Institut Penyelidikan Veternar Ipoh bagi menjalankan kajian penyakit rabies ke atas anjing liar di semua PBT Selangor. – MalaysiaGazette