Home Ekonomi CIMB diarah lantik badan bebas siasat kehilangan pita magnetik

CIMB diarah lantik badan bebas siasat kehilangan pita magnetik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan CIMB Group Holdings Bhd melantik sebuah badan bebas untuk menyiasat kehilangan pita magnetik yang mengandungi data sandar pelanggan.

“Kami telah memaklumkan kepada institusi terbabit bahawa mereka perlu melantik sebuah syarikat bebas untuk melihat punca utama isu itu.

“Bukan itu sahaja, ia akan meneliti proses dan melihat sama ada telah berlaku sebarang keperluan kawal selia telah dilanggar,” kata Gabenor, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau mengulas mengenai insiden kehilangan pita sandar oleh CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) semasa dalam transit baru-baru ini.

Bagaimanapun, CIMB Bank telah memberikan jaminan bahawa langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang sewajarnya telah diambil untuk menangani apa-apa kesan negatif yang timbul akibat kehilangan pita tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan baru-baru ini berkata, siasatan awal menunjukkan kehilangan pita itu disebabkan kemungkinan kecuaian di pihak kakitangan bank.

Malah, beliau turut tidak menolak faktor sabotaj sebagai punca. – MalaysiaGazette