Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman mendakwa pucuk pimpinan parti itu menyembunyikan rekod kewangan berhubung derma dan sumber dana parti itu daripada pengetahuan ahli-ahlinya.

Kamarul Azman berkata, parti sepatutnya mengisy­tihar sumbangan dana atau derma kepada Majlis Pimpinan Tertingginya, namun setiap kali beliau hadir ke mesyua­rat parti perkara itu tidak didedahkan dan ia menimbulkan rasa curiga.

“Saya ingin melihat PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) kerana mahu ahli-ahli mempersoalkan perkara ini. Saya harapkan ada ketelusan untuk mengisytihar berapa jumlah dana yang dikumpul daripada ahli dan derma yang diterima.

“Selama ini PPBM mengkritik pihak luar kononnya ada berlaku penyelewangan, tetapi mereka sendiri tidak pernah isytiharkan kewangan sendiri (kepada ahli parti),” kata beliau dipetik semasa menghadiri forum baru-baru ini.

Dakwanya, keadaan itu amat mengelirukan beliau serta ahli-ahli PPBM kerana parti selama ini begitu melaung-laungkan soal ketelusan dan mengkritik musuh politik yang didakwa tidak mengamalkan integriti tinggi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan AGM tidak diadakan oleh PPBM kera­na terdapat beberapa individu yang kini memegang jawatan tinggi di dalam parti tidak mahu kedudukan mereka tergugat.

Beliau juga percaya sekiranya AGM PPBM diadakan, satu malapetaka boleh berlaku terhadap parti itu memandangkan ahli-ahli­nya sendiri mempunyai banyak perkara mahu yang dipersoalkan terutamanya mengenai kedudukan dan perjuangan parti.

“Sikap pucuk kepemimpinan PPBM mengecewakan dan membuatkan ahli-ahli parti yang selama ini bertungkus-lumus mencari ahli baharu, menghabiskan wang ringgit dan tenaga untuk menggerakkan parti menjadi mangsa keadaan,” katanya lagi.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) baru-baru ini memberi kata dua kepada PPBM supaya mengadakan AGM atau berdepan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya jika tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette