Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat merangkap Penaung Yayasan Amal Wangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique (tengah) bergambar kenangan dan beramah mesra dengan penerima-penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan "Ceria Ke Sekolah" anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan di Atrium Wangsa 118, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 DISEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Yayasan Amal Wangsa dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan bersedia menambah nilai baucer persekolahan RM100 kepada RM150 untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Penaung yayasan itu, Tan Sri Zulhasnan Rafique berkata, tradisi menghulurkan bantuan berupa beg sekolah dan baucer RM100 kepada murid-murid sekolah rendah di Parlimen Setiawangsa telah lima tahun dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan terkini yang menunjukkan ada peningkatan kos sara hidup justeru pihaknya mengkaji untuk menambah jumlah sumbangan pada masa akan datang.
“Kali ini 600 murid mewakili 18 sekolah rendah di Parlimen Setiawangsa dijemput menerima bantuan beg sekolah dan baucer RM100 untuk kegunaan sekolah.
“Namun jika mengikut situasi kos sara hidup yang dihadapi ibu bapa sekarang, saya rasa tidak ada masalah untuk kita kaji semula nilai baucer itu ditingkatkan pada masa akan datang mungkin kepada RM150 atau yang dianggap setimpal,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau yang juga Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan hadir ke program Jom Ceria ke Sekolah di Wangsa 118 dan menyampaikan sumbangan beg sekolah dan baucer RM100 untuk setiap murid.
Katanya, selain program berkenaan, mereka juga mengadakan bengkel peperiksaan untuk murid setiap tahun, sumbangan makanan sekolah untuk pelajar miskin dan biasiswa menerusi peruntukan RM10 juta.
Dalam pada itu seorang suri rumah, Mimi Zurana Roslan, 36 dari Taman Sri Rampai berkata, beliau bersyukur dengan bantuan yang diterima dari Zulhasnan walaupun ketika ini tidak berstatus wakil rakyat.
“Sejak tiga tahun lepas saya terima bantuan sekolah ini dan kali ini untuk anak sulung saya juga yang akan melangkah ke tahun 6 pada Januari nanti.
“Saya juga hendak supaya yayasan ini kalau boleh menambah nilai baucer supaya memudahkan pembelian peralatan sekolah yang ketika ini mahal di pasaran,” katanya.
Selain itu seorang pesara tentera Nurain Julie Abdullah juga menyatakan hasrat supaya bantuan ini ditambah pada tahun-tahun akan datang selepas menerima beg sekolah untuk anaknya Muhammad Aqil Haiqal Khairi, 8. – MalaysiaGazette