Home Politik Kit Siang sanggup berbohong untuk alih perhatian isu Perdana Menteri

Kit Siang sanggup berbohong untuk alih perhatian isu Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Serangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi susulan kenyataannya sebelum ini membuktikan bahawa pemimpin veteran parti itu risau keinginannya menjadi Perdana Menteri akan mengakibatkan pengundi Melayu menolaknya.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Kit Siang sanggup mereka pembohongan apabila mendakwa Puad menerima gaji lebih tinggi daripada menteri hanya untuk mempertahankan Najib bagi mengalihkan perhatian orang ramai.

Tambah Faisal, setiap dakwaan tidak berasas Kit Siang itu cukup untuk membuktikan pemimpin DAP itu semakin takut partinya semakin dibenci selain menimbulkan konflik dalaman Pakatan Harapan.

“Kit Siang memulakan kenyataannya dengan pembohongan, iaitu gaji Puad lebih tinggi daripada menteri kerana beliau hanya perlu melapor kepada Perdana Menteri dan mempertahankan Perdana Menteri.

“Kenyataan ini adalah pembohongan yang nyata kerana seluruh institusi perkhidmatan awam mengetahui bahawa gaji menteri lebih tinggi daripada pegawai yang digajikan secara kontrak ‘for service’ dan menerima gaji secara ‘lump sum’.

“Kit Siang juga jelas berbohong kerana apabila mengulas ucapan Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO, Puad melakukannya di atas kapasiti Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan bukan sebagai Ketua Pengarah Jasa seperti yang didakwa,” tulisnya dalam blog beliau.

Daripada mereka dan membuat dakwaan yang tidak sahih, Kit Siang sepatutnya perlu menyuarakan pendiriannya sama ada benar-benar mahu menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya atau sebaliknya kerana ia terbukti melalui tindakan keluar parti oleh ahli DAP di Nibong Tebal baru-baru ini.

“Benarkah Kit Siang tidak mahu menjadi Perdana Menteri? Umum mengetahui bahawa Penasihat dan Ketua Jawatankuasa Polisi dan Perancangan Strategik DAP ini mempunyai pengaruh yang sangat besar termasuk melalui anaknya Lim Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP,” beliau mengulas lanjut.

Baru-baru ini 100 orang ahli DAP Nibong Tebal keluar parti kerana berasa tidak selamat berada di bawah pentadbiran keluarga Kit Siang.

Dalam kenyataan bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat mengakui sudah beberapa kali mendengar Kit Siang meletakkan harapan mahu menjadi Perdana Menteri. -MalaysiaGazette