Ismail Mina pada Konvensyen Kebangkitan Ummah di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) turut tidak bersetuju dengan dakwaan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Ismail Mina Ahmad, kononnya hanya kaum Melayu sahaja yang menentang penjajah British dan Jepun serta pemberontak komunis tanpa penglibatan kaum lain.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ooi Heng, sepanjang sejarah Malaysia, walaupun kebanyakan usaha penentangan penjajah di Tanah Melayu dibuat oleh orang Melayu, tetapi terdapat juga penglibatan kaum lain.

“Kami ingin membawa kepada perhatian terhadap pembunuhan Residen British Perak yang pertama, JWW Birch oleh Dato’ Maharajalela pada 2 November 1875. Ketika JWW Birch sedang mandi pada sebatang sungai di Pasir Salak, Maharajalela dibantu oleh Sepuntum, seorang yang dipercayai Orang Asli.

“Kami juga menganggap Ismail Mina telah melupakan bahawa Sabah dan Sarawak jugalah sebahagian daripada Malaysia, sedangkan terdapat usaha menentang British yang dilakukan oleh kaum bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Ooi Heng, di Sabah, ketika zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, suatu pemberontakan berlaku di bawah pimpinan Datu Muhammad Salleh (dikenali sebagai Mat Salleh) dari tahun 1894 dan biarpun Mat Salleh meninggal dunia pada 1900, pemberontakan itu berterusan sehingga 1905.

Kata beliau, Datu Mat Salleh bukan Melayu, tetapi seorang Suluk dengan ibunya Orang Bajau dan adakah Ismail Mina menganggap kedua-dua kaum Suluk dan kaum Bajau sebagai Melayu?

“Malah pemberontakan Mat Salleh ini bukan sahaja disokong kaum Suluk dan Bajau, tetapi juga kaum lain terutamanya Kadazan-Dusun yang mendominasikan kaum pribumi di Sabah.

“Kadazan-Dusun tentulah tidak layak digelar sebagai “Melayu” sepertimana dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan kerana kira-kira 75 peratus daripada mereka beragama Kristian, manakala yang beragama Islam hanya 23 peratus.

“Selain itu, pada 1915, suatu pemberontakan terhadap Syarikat Berpiagam oleh kaum Murut berlaku di bawah pimpinan Ontoros Antanum,” katanya sambil memberi penjelasan bahawa kaum Murut juga bukan “Melayu”. – MalaysiaGazette