Aminuddin Yahya.

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendakwa ada sesetengah portal menyeleweng daripada konteks apabila menyiarkan berita ucapan pengerusinya, Ismail Mina.

‘Penyelewengan’ itu seolah-olah Ismail mendakwa hanya kaum Melayu yang berjuang mempertahankan negara dalam menentang Bintang Tiga dan sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Pengerusi UMMAH, Ismail Mina.

Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahya menjelaskan, laporan portal The Malay Mail Online tidak tepat sama sekali apabila memetik ucapan Ismail dengan menampakkan seolah-olah hanya orang Melayu sahaja berjuang menentang komunis.

“Ucapan para pembentang telah dipetik secara salah serta menokok tambah perkara yang sebenarnya tidak disebutkan sehingga menyeleweng daripada konteks dimaksudkan.

“Beliau langsung tidak menyebut bahawa ‘hanya’ orang Melayu sahaja yang berjuang atau menafikan sumbangan oleh para tentera dan polis bukan berbangsa Melayu selepas kemerdekaan dalam memerangi komunis,” kata beliau dalam sidang media hari ini di Taman Melawati hari ini.

Jelas Aminuddin, ucapan Ismail sebenarnya merujuk orang Melayu sejak daripada zaman penjajahan Portugis membawa kepada penjajahan selepas itu termasuk Jepun, Bintang Tiga dan lain-lain telah berjuang menentang penjajahan serta mempertahankan Raja-Raja Melayu.

“Konteks sebenar dibawa Ismail ialah untuk mengingatkan kembali orang Melayu terhadap pergorbanan dan perjuangan orang Melayu dahulu kala serta jerih payah tok nenek kita dalam memerangi penjajahan,” kata Aminuddin lagi.

Susulan laporan media Sabtu lalu, Ummah menerima kecaman hebat daripada banyak pihak, Persatuan Patriot Kebangsaan membidas konvensyen itu tidak sepatutnya menyeleweng daripada sejarah.

Selain itu Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia turut menepis dakwaan Ismail yang mengatakan hanya kaum Melayu sahaja yang berjuang mempertahankan negara.

Presidennya, Mejar Tan Pau Son berkata, beberapa pejuang bukan Melayu yang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu antaranya Templers 12 adalah perintis Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Kata Ismail dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah pada Sabtu lalu, berdasarkan sejarah, ramai orang Melayu sebelum ini telah dibunuh oleh PKM yang dikenali sebagai Bintang Tiga.

Malah beliau turut merayu agar kaum Melayu tidak lupa akan sejarah berkenaan. – MalaysiaGazette