Foto Instagram Fathia Latiff.

KUALA LUMPUR – Aktres kontroversi Nur Fathia Latiff memohon maaf atas keterlanjurannya meninggalkan komen berbaur provokasi terhadap Iqram Dinzly ketika aktor itu membuat siaran langsung melalui Instagram pada Selasa lalu.

Menerusi laman Instagram, Fathia, 30, memberitahu, insiden tersebut hanyalah salah faham dan dirinya tidak berniat jahat terhadap Iqram.

“Salam untuk semua… Saya ingin meminta maaf atas pertuturan saya dengan Iqram, tempoh hari. Ini hanyalah salah faham memandangkan saya dan dia dalam keadaan baik.

“Saya tidak mempunyai niat buruk (mala fide) sama sekali kepada beliau. Sekali lagi saya minta maaf di atas sensitiviti isu ini,” tulisnya melalui entri terbaharu, semalam.

Berdasarkan kemaskini di media sosial miliknya itu, Fathia kini sedang berada di Berlin, Jerman.

Selasa lalu, bintang drama Menanti Februari ini sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan empat komen termasuklah ayat berbunyi ‘pergi bunuh diri’

Komen itu mendapat pelbagai reaksi sekaligus disifatkan netizen sebagai melampau dan provokatif terhadap Iqram.

Iqram pula dikatakan berang lalu berkongsi video menempelak aktres jelita itu di laman sosial.

Sejak kebelakangan ini Iqram sering memuat naik aksi-aksinya di laman sosial yang dianggap pelik oleh masyarakat sekaligus mengundang kontroversi hingga menarik perhatian mufti dan tokoh agama.

Begitu juga dengan Fathia yang sejak dari tahun lalu sering mencetuskan pelbagai kontroversi gara-gara kenyataannya juga aksinya di laman sosial seperti di Instagram, Twitter dan Bigo Live. – MalaysiaGazette