Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keputusan pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyerahkan tanah peneroka di Ijok kepada syarikat menunjukkan mereka tidak sensitif dalam menjaga aset rakyat di negeri tersebut, bidas Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mempersoalkan cara kerajaan negeri di bawah Azmin dalam menguruskan aset-aset melibatkan kepentingan rakyat sehingga dengan mudah menyerahkan tanah yang dianggar bernilai RM1.18 bilion kepada syarikat yang bermasalah.

“Kerajaan negeri dan Mohamed Azmin seharusnya lebih sensitif terhadap pengurusan aset-aset yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Isu seperti ini tidak langsung mencerminkan kerajaan negeri peduli terhadap nasib rakyat terutama peneroka tanah serta peladang dan petani tempatan di Ijok, ” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong tindakan beberapa NGO yang melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat urusniaga melibatkan penyerahan tanah di Ijok itu.

“Ini merupakan sesuatu yang mencurigakan. Saya menyokong tindakan beberapa NGO yang curiga dan melaporkannya kepada SPRM.

“Kita juga khuatir akan nasib rakyat Selangor yang tidak mendapat manfaat daripada tanah tersebut sekiranya dimanipulasikan pula oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Katanya, rakyat bertambah sangsi apabila kerajaan negeri menyerahkan semula tanah yang dirampas dan menjualkannya kepada syarikat awam sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan memihak kepada kerajaan negeri Selangor.

Tegas beliau lagi, kenyataan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu tanah ini juga wajar diambil serius memandangkan beliau amat mengetahui intipati dan kronologi perkara tersebut. – MalaysiaGazette