Dyana Sofya Mohd. Daud

KUALA LUMPUR – Ahli DAP, Dyana Sofya Mohd Daud tidak menjawab soalan berhubung sebuah video kontroversi berpeluk dengan seorang lelaki dikatakan mirip Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Bekas calon DAP semasa pilihan raya kecil Teluk Intan itu semasa wawancara “Anda Tanya Mereka Jawab” hari ini anjuran Sinar Harian disoal oleh moderator berhubung video tersebut, sebaliknya Dyana Sofya memberikan jawapan yang sama sekali tidak berkaitan dengan soalan diajukan.

“Pada saya, masyarakat memang suka memangsakan wanita, terus terang sebelum saya berhenti merokok, ada gambar saya merokok, viral merata-rata gambar Dyana hisap rokok, tapi apabila Datuk Seri Rahman Dahlan upload sendiri gambar cigar kenapa tidak dikecam dan dihakimi seteruk saya,” kata beliau semasa menjawab soalan diajukan.

Soalan yang diajukan oleh moderator forum adalah: “Lama dahulu, Dyana terpalit juga nama dikatakan dalam satu video dilihat seorang figura sebagai Dyana beraksi dengan seorang figura lelaki, jadi isu-isu ini satu cabaran kepada seorang wanita. Jadi, bagaimana Dyana berdepan isu ini?”.

Dalam salah satu gambar yang viral April tahun lalu, seorang wanita dilihat melentokkan kepalanya di bahu seorang lelaki sambil lelaki berkenaan merangkul lehernya.

Foto lain menunjukkan mereka dalam ‘kedudukan bercium’.

Ini bukanlah kali pertama gambar-gambar yang mirip wajah kedua-dua mereka muncul.

Selain itu, muncul juga dua klip video menunjukkan seorang lelaki sedang memeluk seorang wanita berambut panjang di sebuah lokasi yang kelihatan seperti sebuah kelab malam.

Klip pertama memaparkan seorang lelaki menyerupai wajah Zairil, menari sambil berpelukan dengan seorang wanita.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila atau di mana rakaman itu dibuat.

Pada Oktober 2014, Zairil menjadi tajuk berita apabila gambar seorang lelaki, sekali lagi menyerupai wajahnya bersama seorang wanita menjadi viral.

Wanita itu dikatakan menyerupai Dyana Sofya. Pada masa itu, beliau merupakan calon DAP bagi pilihan raya kecil Teluk Intan. – MalaysisGazette