Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kedah menyifatkan pembentangan Manifesto Pakatan Harapan (PH) malam tadi merupakan satu usaha hipokrasi bagi membersihkan dosa polisi lampau kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana banyak perkara yang dicadangkan adalah perkara yang menjadi tunjang dan paksi kepimpinan zaman Mahathir, kata Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Menurut beliau, isu seperti monopoli perniagaan, masalah konsesi tol, isu Sabah dan Sarawak wujud di zaman bekas perdana menteri itu dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada masa ini sedang mencari penyelesaian.

“Rakyat tidak akan pernah terpesona dengan manifesto hilang arah seperti ini. Mereka hanya boleh meletakkan semua perkara ini di atas kertas – kerana mereka tahu pelaksanaannya nanti adalah perkara yang hampir mustahil.

“Saya kira, ini manifesto yang paling lemah dan kurang berkesan pernah dikeluarkan oleh PH. Ia longgar dalam segenap segi dan kurang perincian pelaksanaan yang tuntas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, PH tidak perlu menggunakan tema ’10 janji; 100 hari’ jika banyak janji yang dikemukakan di Pulau Pinang dan Selangor pun masih gagal dilaksana sejak sekian lama.

Dengan mengambil satu daripada contoh yang berlaku, Hazizy menegaskan, tidak guna menjanjikan rumah mampu milik jika kepimpinan Selangor dan Pulau Pinang sendiri gagal dalam usaha tersebut.

“Malang buat PH untuk menjanjikan perkara-perkara yang merupakan “dosa polisi zaman Mahathir” seperti ini.

“Amat menyedihkan apabila seluruh jentera dan pemikir PH menjadi alat membetulkan banyak kesilapan lampau zaman pemimpin utama PH itu.

“Saya tidak terperanjat jika PH akan membuat banyak pembetulan kepada manifesto yang mereka baru rasmikan ini.

“Jika tidak, manifesto ini tidak lebih sekadar “Janji PH Untuk Memperbetulkan Kesilapan Legasi Zaman Mahathir”. Tajuk itu lebih tepat,” ujarnya. – MalaysiaGazette