Mohamad Yasid Bidin

KLANG – Majils Perbandaran Kajang (MPK) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib ke atas tujuh anggota penguat kuasanya jika disabitkan kesalahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin, jika tujuh anggota penguat kuasa itu disabit kesalahan menerima rasuah daripada pengusaha kafe siber, tindakan tatatertib buang kerja boleh diambil.

Bagaimanapun, katanya, kes itu masih dalam siasatan dan tujuh anggota penguat kuasa itu juga berada dalam tahanan SPRM untuk siasatan.

“Selepas menerima laporan daripada SPRM, baru lembaga tatatertib akan ambil tindakan untuk menahan mereka daripada menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penghargaan Anugerah MPK Care 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Mohamad Yasid berkata, tindakan anggota penguat kuasa yang mengambil rasuah dari pusat siber kafe adalah atas pilihan sendiri bukan didorong oleh Pihak Berkuasa Tempatan  itu.

Kata beliau, pihaknya tidak pernah mengarahkan anggotanya melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, malah MPK adalah PBT pertama yang mengadakan Ikrar Bebas Rasuah sebagai aku janji kakitangan untuk bebas daripada amalan itu. – MalaysiaGazette