Anina Saadudin
Pengasas Empirical Malaysia, Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan, Empirical Malaysia (EM) mengecam keputusan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diperjuangan DAP.

Presidennya, Anina Saadudin menyfatkan, pengiktirafan UEC yang terkandung dalam janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) itu sebagai satu pencabulan ke atas Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“Mahathir selaku Pengerusi PH telah tunduk kepada DAP apabila mengiktiraf UEC. Pengiktirafan ini adalah satu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu. EM dengan ini mengutuk PPBM kerana gagal melindungi maruah bangsa Melayu.

“PPBM bukan sekadar mahu menjatuhkan kerajaan Melayu, malah mencabar maruah Melayu. Apa lagi maruah Melayu yang bakal PPBM gadaikan sepanjang lima tahun jika PH berjaya ke Putrajaya?,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Anina yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM mempersoalkan mengapa desakan persatuan Cina seperti Dong Zong untuk pengiktirafan UEC wajib ditolak.

Katanya, sekitar tahun 1960-an, terdapat 60 sekolah Cina di Malaysia yang enggan menggunakan kurikulum kebangsaan dan mahu kekal menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.

“Sekolah Cina ini telah membuat keputusan untuk menjadi sekolah swasta dengan dibiayai oleh komuniti Cina sendiri. Contohnya sekolah seperti Foon Yew High School, Chung Hwa High School dan Kuan Cheng High School.

“Pelajar di sekolah Cina swasta ini menduduki Sijil Peperiksaan Bersepadu atau The Unified Examinations Certificate (UEC) di tahun akhir persekolahan. UEC adalah sistem peperiksaan yang dikendalikan oleh Persatuan Dong Zong,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mengiktiraf UEC kerana tidak menggunakan kurikulum kebangsaan selaras Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mewajibkan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diajar di sekolah.

Katanya, jika pelajar UEC mahu memasuki universiti awam tempatan, mereka boleh membuat pilihan sama ada perlu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus kertas Bahasa Melayu atau mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lulus kertas Bahasa Melayu

“Isu ini dibantah oleh Dong Zong dan mereka mendesak kerajaan mengiktiraf UEC kerana ianya diiktiraf di 70 universiti terkemuka dunia,” katanya. – MalaysiaGazette