Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Ketua Eksekutif Kumpulan KK Group of Companies, Datuk Dr. K.K Chai (tiga kiri) menandatangani plak perasmian Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0 KK Super Mart di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Penghapusan dasar kabotaj aktiviti perkapalan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun lalu antara faktor yang dapat menurunkan harga produk KR1M 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri. Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kos pengangkutan dapat diserap, sekali gus KR1M 2.0 menawarkan harga barangan yang lebih murah berbanding kedai biasa.

Beliau menjelaskan, dasar kabotaj sebelum ini telah memberi sedikit bebanan terutama kepada rakyat di Sabah dan Sarawak sebelum kerjasama dan koordinasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pengangkutan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

“Hasilnya sejak KR1M 2.0 dilancarkan, kerajaan mendapat maklum balas yang sangat baik daripada lapisan masyarakat.

“Selain daripada penjenamaan semula, ianya merupakan satu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan KPDNKK menstruktur semula KR1M 2.0 walaupun tempoh pelancaran yang diberikan agak singkat.

“Jadi sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, saya telah mengarahkan KPDNKK melakukan langkah drastik untuk menurunkan harga di bawah pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan KR1M 2.0 di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad selaku agensi yang mengendalikan KR1M 2.0,  Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Cawangan itu adalah sebahagian daripada 52 buah KR1M 2.0 yang telah beroperasi sejak majlis penjenamaan semula dilancarkan oleh Najib di Temerloh, Pahang pada awal bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, KR1M 2.0 dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan syarikat runcit yang berkaliber dan berkeupayaan seperti pasaraya TMG dan rangkaian kedai runcit KK Super Mart atau entiti peruncitan lain yang berwibawa tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan.

Jelas beliau, kerajaan menerusi KPDNKK hanya membantu menyelaras harga selepas berurusan dengan pengeluar dan pengilang bagi mendapat harga produk yang lebih murah.

“Kita berharap idea KR1M 2.0 oleh Perdana Menteri dapat diteruskan dan diperluaskan serta bukan program bermusim sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette