Datin Seri Umie Aida. Foto AQIRA AZEMI, 04 APRIL 2018.
Datin Seri Umie Aida. Foto AQIRA AZEMI, 04 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Umie Aida secara jujur mengakui beliau kecewa apabila filem Dukun lakonannya terperap selama 12 tahun dan akan ditayangkan di pawagam bermula esok.

Umie berkata, perasan itu timbul selepas beliau memberi lakonan terbaik termasuk sanggup ‘bersahabat’ dengan ular selama dua bulan biar pun seorang yang geli dengan haiwan tersebut.

Jelas wanita berusia 44 tahun itu, watak Diana Dahlan sebenarnya adalah dukun yang memiliki jelmaan ular dan tidak merujuk kepada kisah sesiapa.

“Saya sudah memberi lakonan terbaik sehingga dua bulan bersahabat dengan ular iaitu makan, minum dan tidur bagi mengenali karektor haiwan itu.

“Memang saya teruja menunggu filem ini ditayangkan dan tiada potongan babak cuma lima dialog yang tidak penting dipotong serta tidak mengganggu jalan cerita.

“Watak Diana adalah bersahabat dengan ular dan terpulang kepada penonton untuk mengaitkan dengan karektor sesiapa selepas menonton,” katanya.

Beliau ditemui pihak media selepas majlis tayangan eksklusif filem Dukun di pawam TGV Suria KLCC di sini hari ini.

Barisan pelakon filem Dukun pada tayangan filem itu di Panggung Wayang TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 04 APRIL 2018.

Umie turut berkongsi babak paling sukar dalam filem itu apabila sesi penggambaran diadakan di dalam Penjara Pudu.

“Babak Diana seolah-olah dirasuk sebenarna mengambil masa lapan jam selain babak saya perlu menjilat dinding sel penjara yang berusia puluhan tahun.

“Malah saya juga berdepan hampir diserang histeria gara-gara mengambil mudah dan berfikiran bukan-bukan ketika berada di dalam penjara,” katanya Umie yang wajib membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Kursi setiap kali masuk ke Penjara Pudu.

Dukun menjadi filem kontroversi apabila dikatakan mendapat ilham daripada kisah benar, allahyarhamah Mona Fandey sehingga terperap hampir 12 tahun.

Filem itu mengisahkan seorang ahli perniagaan, Datuk Jefri lakonan Adlin Aman Ramlie yang meminta khidmat Diana (Umie Aida) menjadikan dirinya kebal selain mahu kerjaya yang cerah.

Selain Umie dan Adlin, barisan pelakon yang memantapkan kisah mendebarkan itu termasuk Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana dan Faizal Hussein.

Dukun arahan Dain Said siap pada 2006 namun dikatakan berdepan masalah menayangkan karya terbabit. Antara faktor yang dikatakan menghalang Dukun ditayangkan termasuk babak ganas selain menyentuh sensitiviti pihak tertentu.

Dukun yang dihasilkan pada kos kira-kira RM2.8 juta sepatutnya dapat ditonton pada Disember 2006. Namun, tarikh itu dianjak ke Mac tahun berikutnya hinggalah tertunda beberapa kali.

Rentetan itu, timbul dakwaan Dukun diharamkan Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun, pihak terbabit mengesahkan tidak pernah mengharamkan filem berkenaan. – MalaysiaGazette