KERUSI Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berstatus marginal atau memperoleh majoriti undi di bawah 10 peratus menjadi perhatian pakatan pembangkang pada PRU-14.
Dalam soal ini, Pahang tidak terkecuali walaupun menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di mana Parlimen Pekan ditandingi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan laporan risikan jentera kerajaan setakat ini -sebanyak lima kerusi Parlimen di Pahang dimenangi BN berada dalam status ‘kelabu’ pada PRU-14.

Kelima-lima kerusi Parlimen Pahang itu ialah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Bentong dan Bera.

Silap gaya, ia berpotensi dimenangi Pakatan Harapan (PH) jika situasi semasa kecenderungan rakyat lari daripada menolak BN kali ini.

Maka tidak menghairankan Najib yang juga Pengerusi BN  membuat pengumuman menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga 100 peratus semasa majlis pelancaran Manifesto BN sebagai salah satu strategi menarik kembali sokongan pengundi-pengundi Melayu.

Bagaimanapun sekiranya berlaku tsunami Melayu dalam PRU-14 nanti dengan gelombang para pengundi Melayu sebanyak 52 peratus berpihak kepada PH – besar kemungkinan kelima-lima parlimen di Pahang Barat tersebut tumbang.

Keputusan PRU-13 lalu menunjukkan lima kerusi Parlimen di Pahang Barat tersebut memperoleh undi popular di bawah 60 peratus dengan peratus majoriti bawah 10 peratus.

Antaranya Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 46.2 peratus, Bentong (49.4 peratus), Bera (50.6 peratus), Jerantut (53.7 peratus) dan Lipis (55.1 peratus).

Kawasan ‘kelabu’ itu turut menjadi ancaman kepada kelangsungan BN sebagai kerajaan pemerintah selepas PRU-14 di mana sebanyak 29 Parlimen yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu berada dalam kategori yang sama.

Sementara itu, undi penolakan kepada BN bukan sekadar datang daripada pengundi Cina dan India bahkan turut disumbangkan oleh pengundi Melayu.

Sekiranya keadaan itu berlaku, ia akan mengubah senario politik negara.

Seandainya senario itu menjadi penanda aras, kemungkinan besar Pahang juga bakal ditawan oleh pakatan pembangkang.

Semasa PRU-13, peratus sokongan nasional pengundi Melayu kepada BN adalah 65 peratus namun kali ini situasi mungkin berbeza.

Kemunculan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat berkeupayaan memacu anjakan perubahan pengundi-pengundi Melayu luar bandar sekaligus memberi saingan dan tamparan sengit secara terus kepada UMNO.

Kesepakatan semua parti komponen PH (PKR, DAP, PAN & PPBM) menggunakan satu logo, satu bendera pada PRU14 ini merupakan suatu langkah bijak bagi menghadapi BN.

Gabungan pembangkang menggunakan satu logo satu bendera dalam pilihan raya juga dilihat  memudahkan pengundi.

Secara langsung ia memudahkan rakyat membuat pilihan dan tidak lagi dikelirukan dengan provokasi politik yang melemahkan gerakan gabungan pembangkang.

Jika melihat perhitungan atas kertas, PH perlu mempertahankan kemenangan 12 DUN yang dimenangi pada PRU-13 sambil menambah lagi 10 DUN bagi menawan Pahang.

Pahang mempunyai 42 DUN dan memerlukan jumlah sekurang-kurangnya 22 DUN untuk majoriti mudah membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette.